Khamis, 13 Oktober 2016

Dr Mahathir bersikap keterlaluan menuduh Najib ingin membunuh Proton ???

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menerusi entri blog bertajuk 'Pemerintahan Kuku Besi' mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Proton bankrap dan dijual dengan murah.

Katanya, Najib akan melakukan apa sahaja untuk memadamkan legasi Dr Mahathir yang mencipta Proton sebagai industri automotif tempatan.

"Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Proton hendaklah dijual kepada orang asing 100% supaya industri kereta nasional dihapuskan.

"Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimula oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati," kata Dr Mahathir di blog chedet.cc, semalam.


Walaubagaimanapun, blogger Annie menyatakan, prestasi Proton semakin merudum tambahan pula kebanyakan vendor syarikat mendapat tender menerusi kenalan politik.

"Saya difahamkan kebanyakan vendor ini mendapat kerja dengan Proton menerusi kenalan politik dan tidak kira betapa teruk prestasinya membekalkan barangan kenderaan, mereka akan terus dikekalkan.

"Orang-orang Proton tidak boleh membuang mereka kerana mereka akan menggunakan 'kabel' mereka untuk kekal mendapatkan kerja," kata Annie.

Amalan kronisme ini juga dipersetujui Dr Mahathir sendiri yang mengakui perkara berkenaan dalam entri blog terbarunya itu.

"Orang-orang Proton tidak dibenar bercakap dengan saya, dan peniaga kenalan saya tidak dibenar mengadakan business (perniagaan) dengan Proton," kata Dr Mahathir.

Jelas Annie, Dr Mahathir bersikap keterlaluan dengan menuduh Najib ingin membunuh Proton ekoran ramai pekerja pelbagai peringkat bergantung kerja dengan syarikat automotif berkenaan.

"Okay, mungkin benar Najib tidak berapa kisah dengan Proton kerana ianya adalah bayi Dr Mahathir, tetapi saya sangsi bahawa Najib mahu membunuh syarikat tersebut hanya kerana itu (bermusuh dengan Dr Mahathir).

"Puluhan ribu pekerja bergantung dengan Proton untuk meneruskan hidup dan saya tidak fikir Najib begitu bodoh untuk bertindak sedemikian ditambah lagi dengan pilihan raya umum yang begitu hampir," katanya.

Mengulas mengenai rasionalisasi DRB Hicom untuk menjual 51% pegangannya dalam Proton kepada syarikat asing, Annie berkata, usaha tersebut sekaligus dapat mengurangkan amalan kronisme dalam Proton seterusnya meningkatkan kualiti binaan produk syarikat.

"Rakan niaga asing dengan kuasa mengawal boleh menendang keluar vendor yang tidak berguna ekoran mereka tidak ditekan dari mana-mana ahli politik.

"Mereka tidak akan kisah sekiranya terdapat mana-mana ketua bahagian mengadu kepada Najib bahawa proksi syarikat sebagai vendor Proton ditamatkan perkhidmatannya.

"Mereka hanya mahu membuat kenderaan yang terbaik dan mereka boleh lakukannya tanpa vendor yang teruk itu," ujarnya.

DRB-Hicom sebelum ini menyenarai pendek beberapa syarikat untuk dijual pegangannya dalam Proton termasuk Volkswagon AG's Skoda, Suzuki Motor Corp, Renault SA dan Peugeot PSA Group.

"Kita perlu rasional dalam perkara ini.

"Diharap, salah seorang penasihat Dr Mahathir yang ikhlas boleh memujuknya untuk menerima realiti mengenai Proton.

"Maka dengan itu, warga emas kacak ini tidak terlalu tertekan diatas semua perkara.

"Tolonglah, dia sudah 92 tahun, okay," kata Annie lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...