Sabtu, 20 Ogos 2016

Mahathir Yang Kita Yakinkan Rakyat Bahawa Dia Mahafiraun, Perompak Negara ???

Dalam Perlembagaan Negara , Perkara 10 (c) dengan jelas mengatakan semua rakyat Malaysia punya hak yang sama untuk berpesatuan. Maka sudah tentu menjadi hak asasi yang dibolehkan bagi Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin untuk menubuhkan apa juga parti. Untuk itu kita perlu hormati dan raikan demokrasi lahirnya parti Pribumi.

Namun dari segi prinsipnya untuk menjalinkan kerjasama dengan mana – mana parti atau pertubuhan sekali pun PKR seharusnya berpegang pada prinsip asas reformasi.

Pertama parti ini sangat jelas perkauman dari Umno itu sendiri. Parti ini membuka keahlian kepada semua kaum tetapi hanya Melayu sahaja boleh memegang jawatan atau mengundi.


Adakah bukan melayu hanya layak menjadi tukang sorak. Jika parti ini diterima dalam PH atau diterima sebagai rakan PKR maka ia memberi isyarat PKR mengiktiraf diskriminasi kaum dan ia bakal menjadi beban kepada kita khususnya bila berdepan pilihanraya, selama ini PKR diterima sangat baik di kawasan campuran tetapi dengan mengiktiraf parti perkauman ini pasti memberi kesan pada tapak sokongan PKR itu sendiri.

Selain itu dengan jelas Mahathir bukan sahaja tidak mengakui kesilapannya menzalimi Anwar Ibrahim tetapi terus menfitnah Anwar, mempertahankan tindakannya (1998) terbaru melalui temuramahnya dengan stesen TV Al Jazeera.

Ini persoalan penting dan jika salah ditangani pepecahan sokongan bakal berlaku. Mahathir yang kita yakinkan rakyat bahawa dia Mahafiraun, perompak negara tiba – tiba bila dia ketuai sebuah parti lain kita terima dan angkat dia sebagai pemimpin.

Dia kena akui dan minta maaf atas semua kesilapanya malah tidak keterlaluan dia perlu memulangkan rompakan yang dilakukan seperti skandal Perwaja, Skandal Bank Bumi, Skandal Maminco Makuwasa dan skandal menggunakan wang negara bail out anaknya yang mana Anwar dipecat dan dizalimi kerana menghalangnya.

Itu sekadar menyebut beberapa perkara. PKR itu sendiri diasaskan oleh krisis 1998 yang mana kemuncak kuku besi Mahathir menunggang dan merosakan sistem dalam negara. Kerosakan hari ini merupakan kelangsungan kejahatan Mahathir.

Mahathir yang kita yakinkan rakyat bahawa dia Mahafiraun, perompak negara tiba-tiba dia ketuai sebuah parti lain kita terima dan angkat dia sebagai pemimpin duduk sebaris di atas pentas rakyat?

Kita menerima manusia boleh berubah namun ia perlu dengan pengakuan, meminta maaf dan memulangkan apa hak yang diambilnya.

Pimpinan PKR khususnya yang selama ini begitu rapat dengan Mahathir harus menyatakan pendirian dalam perkara ini. Sepatutnya didesak Mahathir meminta maaf dari Anwar dan seluruh rakyat Malaysia.

Mood rakyat menolak Umno BN cukup tinggi namun kita tidak mahu penampilan Mahathir yang mahu berkuasa kembali bagi memastikan legasinya mengganggu mood rakyat ini.

Datuk Abdul Halim Hussain,
Ketua Cabang Balik Pulau,
Mantan Speaker DUN Pulau Pinang,
Parti Keadilan Rakyat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...