Translate

03/03/2016

Pendebat Terbaik Asia, Pemimpin Pelajar/Aktivis Menyuarakan Hasrat DS Najib Melepaskan Jawatan

PETALING JAYA: Sekumpulan belia melibatkan pemimpin pelajar dan aktivis daripada pelbagai latar belakang politik dengan lantang menyuarakan hasrat supaya Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Gesaan itu disampaikan melalui kenyataan media yang ditandatangani oleh 25 generasi muda negara yang diketuai Pendebat Terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Rabu.

Menurut Syed Saddiq, sebahagian daripada anggota kumpulan itu yang dahulunya adalah penyokong tegar Najib kini mula mengubah haluan selepas pemimpin berkenaan terpalit dengan pelbagai krisis, termasuk skandal 1Malaysia Development Berhada (1MDB).

"Antara kami ini dahulunya sangat pro kepada Datuk Seri Najib, pernah pakai baju 'I love PM' dan menyertai banyak program yang menyokong kepimpinannya.

"Tapi kini kami pemimpin-pemimpin anak muda Malaysia telah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Najib dan sekutunya kerana tindakan mereka telah menjejaskan dan akan mengorbankan masa depan Malaysia," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Selain itu, Syed Saddiq yang memenangi gelaran Pendebat Terbaik Asia sebanyak tiga kali berkata, sudah tiba masanya untuk golongan belia menegur kepimpinan negara yang dilihat gagal berfungsi dengan baik.

"Tapi kami sedar bahawa sama ada Datuk Seri Najib berundur atau tidak, ia adalah diluar kawalan kami.

"Namun mesej penting yang ingin disampaikan ialah golongan belia tidak senyap. Kami tak pekakkan telinga dan tak butakan mata. Jadi inilah masanya untuk kami bersuara," katanya.

Ditanya sama ada tindakan mereka dibelakangi pihak tertentu khususnya pembangkang, Syed Saddiq menolak tanggapan berkenaan.

"Kami tak pro mana-mana pihak termasuk pembangkang. Siapa juga yang naik mentadbir kerajaan nanti, tapi akhirnya mengulangi kesilapan yang sama, kami akan tegur.

"Mesejnya ialah golongan belia boleh bersatu untuk kepentingan negara tanpa mengenal latar belakang politik," katanya.

Berhubung soalan sama ada mereka sudah bersedia untuk berhadapan kemungkinan dikenakan tindakan kerana kebanyakkannya masih menuntut di universiti, Syed Saddiq berkata, beliau percaya kepada prinsip kebebasan bersuara untuk menyatakan pandangan.

"Bagi kami tak salah untuk berekspresi atau nyatakan pendirian. Kalau kita boleh nyatakan "kami mahu Najib kekal" tak salah juga untuk kami katakan "kami mahu najib berundur".

"Kedua-duanya adalah tentang ekspresi. Yang penting kami tidak bertindak bertentangan undang-undang," katanya.

Sumber: KLIK SINI

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...