Rabu, 2 September 2015

ALLAHHUAKHBAR SUDAH SAMPAI MASANYA UMNO/PAS BERMUAFAKAT


PASIR PUTEH 1 Sept. - Buat pertama kali dalam sejarah, penyokong UMNO dan Pas hari ini bersama-sama membuat laporan polis terhadap sikap biadab peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 yang memijak gambar presiden kedua-dua parti tersebut.


Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok itu bertujuan mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika perhimpunan haram tersebut kelmarin.

Malah penyokong kedua-dua parti itu bersama-sama melaungkan ‘hidup UMNO’; ‘hidup Pas’; ‘lenyap DAP’ dan ‘Bersih biadab’ ketika berarak keluar dari IPD tersebut sejurus laporan polis dibuat.


Laporan polis itu dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak manakala Pas diwakili oleh Pengerusi Lujnah dan Media Baharu Pas kawasan tersebut, Zainudin Awang Hamat yang juga bekas ADUN Limbongan pada pukul 12.20 tengah hari. Yang hadir sama ADUN Selising, Zulkifle Ali.

Sementara itu, Zawawi ketika ditemui memberi amaran kepada pihak tersebut supaya tidak mengulangi perbuatan yang boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Melayu di negara ini.

“Tidak perlu memohon maaf di atas kerakusan yang telah dilakukan dalam perhimpunan Bersih 4.0. Kami tidak reda pemimpin kami dihina dan diperlekehkan. Kami desak pihak polis menjalankan tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“Biadab dan kurang ajar itulah gelaran yang sesuai dilabelkan. Jangan ulangi lagi sikap kurang ajar sedemikian. Jangan sampai maruah negara tergadai.

“Jangan sampai undang-undang negara diabaikan. Kedua-dua pemimpin ini (Najib dan Abdul Hadi) adalah beragama Islam dan Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diperlekehkan dengan cara yang tidak bermaruah,” katanya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...