Translate

21/03/2015

Malaysia bukanlah sebuah negara Islam - DAP


GEORGE TOWN, 20 Mac: Kedudukan dan pendirian DAP dalam hal berkaitan PAS akan dibincangkan pada mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu Khamis depan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata kepimpinan nasional membenarkan pimpinan parti di peringkat negeri dan nasional untuk menyatakan pandangan secara peribadi atau terbuka dalam mesyuarat pada Isnin depan berhubung isu undang-undang hudud berikutan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan.


Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan media di sini hari ini berkata daripada empat pindaan dalam undang-undang hudud 1993 yang asal seperti yang dijanjikan kepada pimpinan Pakatan Rakyat sewaktu mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat terakhir yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Februari lalu, PAS telah membentangkan keseluruhan rang undang-undang hudud dengan kesemua 71 klausanya.

“DAP tegas membantah pelaksanaan undang-undang hudud bukan kerana ia undang-undang Islam, tetapi kerana hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa walaupun Islam adalah agama rasmi Malaysia, Malaysia bukanlah sebuah negara Islam,” katanya.

Lim berkata isunya sekarang bukan sekadar berkenaan undang-undang hudud, yang dari sudut prinsip dan dasar sememangnya dibantah oleh DAP, tetapi juga persoalan kepercayaan dan kejujuran beberapa pimpinan PAS di peringkat nasional dan bagaimana mereka berpegang kepada janji.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...