Translate

07/02/2015

Saya bukan 
murid sekolah - Hadi


MARANG 6 Feb. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak Lim Guan Eng yang mempertikaikan kehadirannya dalam mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang dengan menegaskan beliau bukan budak sekolah untuk menurut arahan pemimpin DAP itu.

Tegas Ahli Parlimen Marang itu, Guan Eng tidak berhak untuk menentukan sama ada beliau perlu menghadiri mesyuarat berkenaan atau tidak.
Katanya, terpulang kepada beliau sendiri untuk hadir atau tidak ke mesyuarat yang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Pas di ibu negara pada Ahad ini.


 “Dia (Guan Eng) tak berhak tentukan saya hadir atau tidak dalam mesyuarat pakatan rakyat (pembangkang) nanti. Terpulang pada sayalah nak hadir atau tidak. Saya bukan murid sekolah. Itu hak saya.

“Kita tengok dulu, kita tengok pada hari mesyuarat sama ada saya hadir atau tidak dan saya tidak bergantung kepada sesiapa,“ katanya kepada pemberita di kediamannya sejurus selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila yang terletak bersebelahan, hari ini.

Beliau diminta mengulas peringatan Guan Eng semalam bahawa mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang yang dijadualkan berlangsung Ahad ini tidak akan diteruskan jika Abdul Hadi tidak hadir.

Pemimpin DAP itu berkata, tarikh mesyuarat tersebut telah ditetapkan dan semua parti dalam pakatan pembangkang perlu memberi komitmen bagi menghadiri mesyuarat itu yang akan bermula pukul 2.30 petang.

Kata Abdul Hadi, jika dibandingkan dengan Setiausaha Agung DAP yang jawatannya itu masih belum disahkan, beliau sendiri lebih kerap menghadiri mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang sejak dahulu lagi.

Walau bagaimanapun katanya, pada masa-masa tertentu beliau terpaksa membatalkan kehadiran atas faktor kesihatan dan uzur.

Malah menurutnya, sewaktu menjadi Menteri Besar dahulu be­liau masih sempat menghadiri setiap mesyuarat dan tidak sesibuk Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saya lebih banyak hadir mes­yuarat (pakatan pembangkang) daripada Guan Eng. Dia paling banyak tidak hadir mesyuarat. Saya yang paling banyak hadir kecuali saya sakit atau uzur. Masa saya jadi MB (Menteri Besar Terengganu) dulu pun, saya hadir tiap-tiap mesyuarat (parti pembangkang).

“Saya tak sibuk macam Ketua Menteri (Guan Eng). Kalau sibuk pun saya mesti hadir mesyuarat. (Jadi), kena check (periksa) betul-betul dari segi kehadiran, siapa pa­ling banyak tak hadir mesyuarat,“ tegasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...