Translate

06/02/2015

IMIGRESEN, IMIGRESEN, IMIGRESEN, ????


KUALA LUMPUR 5 Feb. – Jabatan Imi­gresen akan memburu dan mengesan warga Pakistan yang membeli Pas Lawatan Sosial (PLS) di Sabah daripada sindiket yang dipercayai didalangi pegawai imigresen yang ditangkap Isnin lalu.

Warga Pakistan berkaitan tidak boleh melarikan diri kerana pas itu mempunyai tempoh sah tertentu dan mereka perlu memperbaharuinya di kaunter imigresen ataupun membuat permohonan melalui sistem dalam talian kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Imigre­sen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, beliau juga percaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memburu dan menangkap mereka sebagai pesalah rasuah atau saksi.


“Mereka yang terlibat itu dipercayai masih berada di Sabah dan jika dikenal pasti kelak, individu terlibat akan disenarai hitam kerana me­lakukan kesalahan imigresen ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar tentang penahanan tujuh pegawai imigresen oleh SPRM pada Isnin lalu kerana dipercayai terlibat de­ngan satu sindiket menjual ratusan PLS sehingga mencecah RM11,000 setiap satu kepada warga Pakistan di Sabah.

Penahanan yang disifatkan terbesar di Sabah membabitkan tujuh pegawai jabatan itu dilakukan oleh SPRM dan kesemua mereka dipercayai ditahan di pejabat masing-masing iaitu lima di Lahad Datu manakala dua lagi di Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut, Mustafa juga menyokong tindakan SPRM mengambil tindakan terhadap pegawai dan kakitangan Jabatan Imigre­sen yang disyaki melakukan kesalahan rasuah.

Malah, beliau turut mengingatkan warga imigresen supaya tidak melakukan apa juga kesalahan serta tidak sesekali terlibat dengan rasuah.

“Jika didapati salah, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mereka dan mereka tidak akan dilindungi, tetapi jika difitnah, saya akan berusaha sebaik mungkin membantu mereka.

“Sebagai Ketua Pengarah, saya akan sedaya upaya bertindak adil. Saya juga harap pihak berkuasa berkenaan agar turut menangkap warga Pakistan serta mereka yang terlibat bersekongkol dengan pegawai saya dalam kes rasuah ini untuk disiasat dan didakwa,” tegasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...