Khamis, 22 Januari 2015

Kerajaan patut kaji keberkesanan PLKN, Adakah ianya efektif atau tidak ??


KUALA LUMPUR: Kesan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diwujudkan sejak 2004 perlu dikaji semula untuk mengetahui keberkesanannya, kata penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar. 

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula program yang sudah 11 tahun ditubuhkan itu, sama ada ia benar-benar memberikan hasil yang memberangsangkan di kalangan generasi muda khususnya. 

Pada masa sama beliau setuju dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangguhkan PLKN sesi tahun ini bagi menjimatkan RM400 juta dalam bajet kerajaan. 

"Saya setujulah PLKN ini ditangguh dan dikaji semula. Adakah ianya efektif atau tidak.


"Saya rasa lebih baik kita kaji semula, tengok impak dia sudah beberapa tahun, apa kesannya? 

"Apakah ia hanya akan merugikan negara sahaja kerana berbelanja banyak," katanya kepada Antarapos dalam ditemubual eksklusif. 

PLKN merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat PLKN seluruh Malaysia bagi remaja terpilih dalam lingkungan umur 17 tahun dan ke atas setelah menamatkan pendidikan sekolah menengah.

Ia program pembinaan sahsiah diri yang bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. 

Namun sejak kewujudan PLKN juga mengundang beberapa isu kontroversi apabila timbul masalah sosial di kalangan peserta dalam melalui latihan itu termasuklah kes rogol dan gangguan seksual. 

Sehingga dua tahun lalu dilaporkan seramai 22 kes kematian, satu kes rogol dan 21 kes yang mengakibatkan kecederaan kekal terjadi di PLKN seluruh negara. 

Semenjak itu, banyak pihak yang beranggapan bahawa kerajaan patut menghentikan program tersebut kerana dikhuatiri ia menghasilkan generasi muda yang tidak mencapai matlamatnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...