Translate

04/12/2014

Orang politik jadi dalang bawa masuk PATI ?

KUALA LUMPUR, 3 Disember: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) melebihi 4.6 juta di negara ini didakwa didalangi oleh orang-orang politik serta ejen-ejen penyedia perkhidmatan warga asing yang bergiat aktif secara haram sejak beberapa tahun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah pada satu sidang akhbar, pada Rabu.
Beliau berkata, isu PATI ini tidak akan selesai meskipun kerajaan melakukan pelbagai cara malah pembabitan orang politik itu akan menyebabkan masalah PATI di negara ini akan bertambah teruk lagi.

“Kita biasa dengar anggota penguatkuasa diheret ke mahkamah dan dikenakan hukuman kerana terlibat dengan rasuah melibatkan PATI.
“Tetapi kita jarang sekali mendengar orang politik didakwa kerana perkara sama. Hal ini adalah kerana mereka itu ada kuasa politik yang menyebabkan mereka kebal daripada undang-undang,” katanya.
Pada sidang akhbar sama, Ridzuan turut mendedahkan tentang pembabitan 15 ejen haram yang terlibat melakukan perkara itu dan aktif bergerak sejak beberapa tahun lalu.
Kesemua ejen terbabit katanya, beroperasi di ibu negara dan turut didakwa mempunyai hubungan yang rapat dengan pegawai dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Jelasnya, beliau mempunyai bukti bagi menunjukkan kebenaran tentang apa yang didakwanya itu.
“Saya ada seorang rakan yang mengusahakan sebuah restoran dan memerlukan pekerja asing sebagai pembantu.
“Untuk tujuan itu dia telah berurusan dengan pihak KDN bagi membawa masuk pekerja asing seramai 20 orang.
“Apa yang menghairankan, rakan saya itu telah dihubungi oleh seorang ejen yang boleh menguruskan kemasukan pekerja asing tersebut dengan mengenakan bayaran perkhidmatan sebanyak RM1,000 untuk setiap seorang,” katanya.
Jelas beliau, apa yang menghairankan, bagaimana ejen itu boleh mengetahui bahawa rakan saya memerlukan pekerja asing sedangkan dia tidak pernah mendapatkan khidmat daripada mana-mana agensi.
Perkara lain yang turut dipersoalkan ialah dari mana ejen tersebut memperoleh nombor telefonnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...