Translate

11/06/2014

PULAU PINANG PUSAT PEMPROSESAN DADAH TERBESAR

Sting bongkar makmal proses heroin di P.Pinang, rampas 26 kg heroin

BUTTERWORTH 11 Jun - Pasukan Khas Tektikal Perisikan Narkotik (Sting) membongkar sebuah makmal memproses heroin berikutan penahanan seorang lelaki dan merampas 26 kilogram dadah jenis heroin dirampas dalam operasi di sebuah kawasan perumahan di Sungai Dua, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun twitternya mengucapkan tahniah kepada pasukan STING atas kejayaan membongkar makmal memproses heroin itu.

``Syabas STING@PDRMsia pukul 2.45 pagi tadi tumpaskan Makmal Proses Heroin di Pulau Pinang dan Kedah. Tangkap dua orang dan rampas lebih 26kg heroin dan lain-lain,'' kata Khalid dalam twitternya.

Menurut sumber polis bertindak hasil maklumat awam dan risikan sejak beberapa minggu lepas, pasukan STING menyerbu rumah terbabit dan menahan seorang lelaki berumur 48 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam rumah berkenaan, polis menemui pelbagai serbuk dan ketulan dadah jenis heroin, asas heroin, syabu dan cecair syabu yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan heroin.

Barangan lain yang turut dirampas ialah peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah termasuk serbuk kimia, serbuk kafein, pencair, cecair kimia dan alatan memasak.

Sumber itu berkata susulan penahanan suspek pertama polis turut menahan seorang lagi lelaki berumur 54 tahun di Alor Setar, Kedah awal pagi ini.

Polis tidak menemui sebarang dadah bersama lelaki itu tetapi percaya dia mempunyai kaitan dengan makmal pemprosesan dadah di kawasan Sungai Dua.

Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dijadual mengadakan sidang akhbar mengenai pembongkaran makmal dadah itu Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang pada 11 pagi esok. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...