Translate

15/01/2014

SPRM Tumpu Kepada Pencegahan Rasuah Dalam Aktiviti Komersil



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil inisiatif untuk memerangi dalam aktiviti komersil di kalangan organisasi, menumpukan kepada tiga aspek -- pengesanan, pencegahan dan pendidikan.

Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata inisiatif itu diambil berikutan peningkatan kes penipuan dalam aktiviti komersil terutamanya yang melibatkan projek yang dahulunya milik kerajaan yang telah diberikan kepada entiti swasta.

"Kes penipuan kebanyakannya terjadi berikutan faktor kemanusiaan seperti pemikiran di mana terdapat tanggapan di kalangan sektor korporat bahawa ia adalah sebahagian daripada sektor itu, seperti ia adalah satu budaya.

"Yang kedua, mereka menganggap ia adalah perlakuan yang diterima, amalan biasa, apabila terlibat dalam pemberian dan penerimaan rasuah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Kaji Selidik Penipuan dan Rasuah KPMG 2013 di sini Isnin.

Abu Kassim juga menyentuh tentang isu salah faham dalam kalangan sektor korporat, di mana sesetengah syarikat bagai tidak tahu bahawa memberi rasuah adalah satu kesalahan yang sama serius seperti mereka yang menerimanya.

Beliau berkata setakat ini, terdapat 300 entiti korporat dalam sektor awam dan swasta yang telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat, yang merupakan sebahagian daripada tiga langkah yang diambil oleh SPRM.

Sementara itu, rakan kongsi urusan KPMG Malaysia Johan Idris berkata kajian yang dilaksanakan oleh firma itu mendapati 89 peratus daripada responden merasakan penipuan telah meningkat sepanjang tiga tahun lepas, yang mana 94 peratus daripada mereka percaya penipuan kini semakin canggih.

Kajian kali kelima ini mendapati 83 peratus responden menyatakan bahawa penipuan adalah masalah besar bagi perniagaan tempatan, dan 80 peratus daripada mereka percaya rasuah telah meningkat sepanjang tiga tahun lepas.

Kira-kira 100 responden daripada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia mengambil bahagian dalam kajian itu, yang dijalankan pada Januari 2010 hingga Disember 2012.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...