Calon PAS PRK Kg. Sg. Limau bersama PM |
YAN: PAS sudah ketandusan isu hingga sanggup guna gambar palsu dalam risalah kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata Barisan Nasional (BN) sama sekali tidak akan melakukan perkara seumpama itu dalam siri kempen mana-mana pilihan raya semata-mata mahu meraih undi. "Ini tandanya pembangkang ketandusan idea untuk tarik pengundi," katanya selepas menyampaikan ceramah dalam siri kempen menjelang PRK DUN Sungai Limau di Pusat Daerah Mengundi Sungai Limau di sini, malam Isnin.
Turut hadir calon BN DUN Sungai Limau Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran risalah kempen PAS yang memaparkan gambar calonnya untuk PRK itu Mohd Azam Abd Samat kononnya bertemu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, di pejabatnya ketika Azizan menjadi Menteri Besar Kedah.