Vietnam larang warga kongsi dan bincang berita
VIETNAM telah menguatkuasakan satu undang-undang yang melarang warganya daripada berbincang mengenai berita ehwal semasa di Internet.
Menurut undang-undang yang juga dikenali sebagai Decree 72 itu, warga Vietnam tidak boleh berkongsi rencana berita di blog dan laman web sosial mereka, tetapi hanya boleh berkongsi maklumat peribadi sahaja.
Di bawah undang-undang yang telah menimbulkan kontroversi itu, server setempat syarikat Internet asing juga perlu berada dalam Vietnam sahaja.
Pelbagai syarikat Internet, kumpulan hak asasi manusia dan pemerintah Amerika Syarikat juga telah mengkritik undang-undang itu sejak ia diperkenalkan.
Vietnam merupakan sebuah negara komunis satu parti dan pihak berkuasanya masih mengawal media setempat dengan ketat.