Translate

09/06/2013

Tunku Abdul Aziz terima ugutan bunuh dari samseng DAP ???

Tunku Abdul Aziz keluar DAP
PETALING JAYA - Bekas Naib Presiden DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim hari ini membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterimanya melalui panggilan telefon semalam.

Beliau yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi ini berkata ugutan tersebut dibuat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali pada pukul 10.10 malam tadi.

Katanya, bimbang nyawa dan keselamatan ahli keluarganya terancam beliau hadir membuat laporan polis.

"Kata-kata lelaki itu amat berani. Dia kata dia akan bunuh saya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata ugutan tersebut kemungkinan berpunca daripada beberapa isu mengenai perkembangan di negara ini yang beliau komen.

"Lelaki itu mungkin mengugut saya untuk berhenti memberikan komen saya mengenai beberapa isu penting mengenai negara kita," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Fadil Marsus mengesahkan ibu pejabat polis itu menerima laporan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, yang membawa hukuman denda dan penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan. - Bernama

08/06/2013

Akta Derhaka: Kerajaan akan bincang, teliti

KUALA LUMPUR 8 Jun - Kerajaan akan meneliti keperluan mewujudkan Akta Derhaka bagi membendung penularan gejala menghina institusi diraja yang semakin serius terutama di laman-laman sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, untuk itu, beliau akan berbincang dengan rakan sejawatannya, Nancy Shukri yang bertanggungjawab terhadap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Menurutnya, penelitian dan perbincangan terbabit akan turut melibatkan penggubal undang-undang selain pandangan Jabatan Peguam Negara.

"Selepas itu kita akan bawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pertimbangan. Tetapi bagi saya, kalau nak wujudkan akta baharu, kita kena perhati (teliti) betul-betul walaupun undang-undang sedia ada sudah mencukupi.

"Kalau ada yang kata undang-undang kini tidak cukup kuat, kita akan kuatkan,’’ katanya kepada Utusan Online ketika ditemui pada majlis perasmian klinik pakar rawatan optometri dan kanta sentuh khas, D’Optometrist, di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


07/06/2013

Rasis Dan Cauvinis Sudah Jadi Darah Daging Perjuangan DAP

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omar Din,  membidas kepimpinan DAP yang mendakwa bahawa parti tersebut mengamalkan demokrasi, kebebasan dan ketelusan dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai sesuatu yang memalukan parti itu sendiri.
Menurut beliau, biarpun kepimpinan DAP cuba menyakinkan rakyat bahawa parti tersebut terbuka  dan cuba membentuk persepsi rakyat dengan mengatakan bahawa UMNO sebuah parti rasis, namun hakikatnya rakyat di negara ini tidak buta untuk melihat sikap rasis, tidak telus dan bersikap tidak adil yang diamalkan oleh kepimpinan DAP hari ini.
“Di mana kebebasan dan keadilannya apabila DAP sendiri menghalang akhbar tertentu daripada menghadiri program mereka dan amat takut dikritik?
“Di mana pula keadilan di dalam DAP apabila peniaga-peniaga kecil di Pulau Pinang ditindas dan dinafikan hak mereka? Adilkah DAP apabila lebih menumpukan kepada pembangunan hartanah mewah dan melupakan rakyat miskin di Pulau Pinang?
“Di mana demokrasi di dalam DAP yang dilaung-laungkan oleh pemimpin mereka apabila pemilihan CEC parti mereka sendiri  penuh dengan penyelewengan?,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini. KLIK

05/06/2013

Najib seru umat Islam kembali bersatu, jadikan Malaysia negara Islam progresif

KUALA LUMPUR - Sempena peristiwa Israk dan Mikraj, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru umat Islam di negara ini agar kembali bersatu hati meneruskan agenda transformasi demi menjadikan Malaysia sebuah negara Islam moden yang progresif.
Mengambil contoh Nabi Muhammad SAW yang mengimami solat yang disertai seluruh para nabi semasa peristiwa itu di Masjidil Aqsa, Perdana Menteri berkata ia menjelaskan kepentingan menyatukan ummah dalam menegakkan risalah Allah di muka bumi ini.
"Oleh yang demikian, sempena peristiwa hebat Israk dan Mikraj ini, marilah kita semua kembali bersatu hati dalam meneruskan agenda transformasi kita untuk menjulang Malaysia menjadi sebuah negara Islam moden yang progresif, maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti,” katanya dalam perutusan khas sempena peristiwa Israk dan Mikraj 1434H, yang dimuatnaik di laman blog www.1malaysia.com.my hari ini.
Beliau berkata peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku dalam bulan Rejab bagi menyatakan kekhususan Nabi Muhammad SAW itu memberi makna yang besar kepada seluruh umat Islam.
Katanya, pelbagai elemen seperti keimanan, sejarah, sirah, politik, sosial, geografi dan teknologi telah digabung-jalinkan untuk dijadikan iktibar kepada umat pada masa ini. - Bernama

04/06/2013

Sindiket Gores dan Menang di Mydin Mall Kuala Terengganu bermaharajalela ???

Di Kuala Terengganu walaupun banyak laporan polis telah dibuat, namun tiada sebarang tangkapan dibuat, kenapa???? KLIK

JOHOR BAHARU: Polis menumpaskan sindiket penipuan 'gores dan menang' yang memperdaya mangsa kononnya menang hadiah kereta mewah dan barangan elektronik, selepas menahan lapan individu di bandar raya ini, minggu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata mereka ditahan selepas polis menerima laporan beberapa mangsa termasuk rakyat Singapura yang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.
"Untuk meyakinkan mangsa, suspek telah menunjukkan keratan akhbar mengenai kereta mewah yang kononnya dimenangi peserta lain. Hakikatnya suspek menyediakan kad 'gores dan menang' yang tidak akan memenangi hadiah sedemikian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini Selasa.
Mohd Mokhtar berkata mangsa yang tertarik dengan hadiah itu, menyerahkan sejumlah wang, yang kononnya sebagai cukai untuk membuka satu lagi cabutan dalam kad 'gores dan menang' yang sama.
Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas mendapati barangan yang diberi tidak berkualiti dan tidak sepadan dengan jumlah wang yang diserahkan.
Katanya hasil siasatan mendapati resit pembayaran yang diserahkan kepada kesemua mangsa adalah atas syarikat yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau lesen di bawah Akta Jualan Langsung.
"Kesemua yang ditahan berumur lingkungan belasan tahun hingga 40-an. Kami percaya mereka telah melakukan penipuan itu sejak lima bulan lepas," katanya. -BERNAMA

03/06/2013

Polis Sepanyol rampas dadah 3 tan

MADRID – Polis Sepanyol berjaya merampas sebuah bot yang membawa tiga tan dadah jenis kokain di lautan Atlantik dan menahan 21 orang pada Jumaat.
 
“Polis telah menahan sebuah bot nelayan di Lautan Atlantik dan menemui tiga tan bungkusan dadah kokain di dalamnya. Seorang kapten bot warga Korea dan empat anak kapal warga Indonesia ditahan. Sementara 16 orang lagi suspek di tahan di darat pada Khamis,” kata polis Sepanyol dalam satu kenyataan. 

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa dadah tersebut ada kaitan dengan sebuah organisasi jenayah dari Venezuela. Operasi yang diberi nama Albatross itu menyaksikan banyak tangkapan dibuat di bahagian barat laut Galicia. 

Dalam operasi terbabit, polis telah melakukan sepuluh serbuan di pelbagai lokasi serta merampas senjata api, komputer, dokumen dan beberapa buah kenderaan. 

Sepanyol merupakan pusat kemasukan utama dadah ke Eropah dari Amerika Selatan dan sumber-sumber lain. Pada 6 Mei lalu, polis telah merampas 52 tan dadah jenis hashish di sebuah gudang di Cordoba dan menahan tiga suspek. 

Pada Mac pula, polis berjaya merampas tiga tan kokain daripada sebuah bot yang datang dari Venezuela.

UMT hasilkan coklat dari tulang ikan

Coklat dari tulang ikan
Dr Dara Aishah (dua dari kiri) menunjukkan produk yang terhasil daripada tulang ikan
KUALA NERUS – Siapa menyangka tulang ikan yang sebelum ini hanya dijadikan sisa buangan sebenarnya mampu menghasilkan pelbagai produk bermutu, antaranya coklat, baulu, keropok, penapis air dan sebagainya.

Penemuan terbaru oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Pembangunan Sosio Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menyaksikan sisa yang sebelum ini hanya dianggap sebagai buangan sebenarnya boleh bertukar kepada produk yang memberikan pulangan membanggakan.

Tujuan penyelidikan itu adalah bagi membantu komuniti setempat terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai mencari pendapatan tambahan, di samping memanfaatkan sepenuhnya kegunaan ikan termasuk tulang untuk menghasilkan produk bermutu tinggi.

Menurut Dr Dara Aishah Mohammad Ali Puteh, kumpulan penyelidiknya berjaya menjadikan tulang ikan yang dibuang itu kepada tepung yang kaya dengan kalsium sejak lebih dua tahun lalu.

“Melalui penyelidikan yang dilakukan, kita dapati tulang ikan yang selesai diproses sebenarnya mampu menggantikan kalsium sintetik yang digunakan untuk membuat pelbagai produk di pasaran.

“Tepung yang mampu menghasilkan produk makanan halal dan selamat itu boleh dijadikan sebagai karbon aktif, protein, gelatin dan kolagen, malah pihak kami juga berjaya menggunakan bahan berkenaan sebagai penapis air,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penyelidikan itu, beliau memberitahu, tulang yang dikumpulkan perlu direbus sebanyak dua kali dalam tempoh tiga hingga empat jam sebelum direndam dalam air suling dan aseton, kemudian dikeringkan serta dihancurkan bagi menjadikannya dalam bentuk serbuk.

“Lebih menarik lagi, kalsium yang terkandung dalam tulang ikan yang diperoleh menerusi penyelidikan itu juga adalah asli dan tidak mempunyai perisa tambahan, sebaliknya masih kekal dengan keaslian rasanya,” katanya.

Menurut Dr Dara Aishah, menerusi penyelidikan yang dibuat itu juga, kumpulan yang diterajuinya juga berjaya memperoleh pelbagai pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuk di peringkat kebangsaan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...