KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam.
Katanya, langkah itu sebagai memberi ruang kepada orang bukan Islam mengenali ajaran agama Islam sebenarnya.
"Bagi (pendapat) saya, orang bukan Islam perlu diberi ruang menggunakan perkataan itu kerana ia merupakan gerakan dakwah untuk mendekatkan orang bukan Islam kepada agama Islam," katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan majlis penyerahan watikah pelantikan anggota majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini, hari ini.