Translate

29/10/2013

Pembangkang Ketandusan Idea Sanggup Guna Gambar Palsu

Calon PAS PRK Kg. Sg. Limau bersama PM
YAN: PAS sudah ketandusan isu hingga sanggup guna gambar palsu dalam risalah kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata Barisan Nasional (BN) sama sekali tidak akan melakukan perkara seumpama itu dalam siri kempen mana-mana pilihan raya semata-mata mahu meraih undi. "Ini tandanya pembangkang ketandusan idea untuk tarik pengundi," katanya selepas menyampaikan ceramah dalam siri kempen menjelang PRK DUN Sungai Limau di Pusat Daerah Mengundi Sungai Limau di sini, malam Isnin.
Turut hadir calon BN DUN Sungai Limau Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran risalah kempen PAS yang memaparkan gambar calonnya untuk PRK itu Mohd Azam Abd Samat kononnya bertemu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, di pejabatnya ketika Azizan menjadi Menteri Besar Kedah.
Menurut Sinar Harian semalam, gambar itu sebenarnya gambar kunjungan mesra dua pemberita kanannya ke atas Allahyarham Azizan pada 25 Mei 2011. Sinar Harian mendakwa gambar itu telah diubah suai menerusi teknik 'photoshop' bagi menampal wajah Mohd Azam pada wajah seorang daripada pemberita kanannya itu.
Ditanya mengenai konsep 'hijrah' pengundi DUN Sungai Limau, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata jika sebelum ini pengundi di kawasan DUN itu tidak memilih BN kerana mempertahan penyandang, Allahyarham Azizan, namun PRK kali ini merupakan masa untuk berubah. "Sekarang mereka perlu berani untuk berubah demi perubahan di kawasan ini. Orang muda perlu tampil berhijrah untuk kebaikan," katanya.
Beliau turut menggesa supaya jentera PRK memperkukuh barisan dan mengambil strategi mendekati pengundi baharu dan pengundi atas pagar untuk bersama-sama B Npada PRK DUN Sungai Limau 4 November ini. "Pada pandangan saya, kita boleh menang di sini dengan syarat semua perlu kerja keras. Masyarakat di sini perlu bagi peluang pada BN. Pembangkang sudah menang lima kali di sini, jangan bagi mereka peluang keenam," katanya.
Kerusi DUN Sungai Limau kosong selepas Allahyarham Azizan meninggal dunia pada 26 September lalu. -BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...