Translate

05/09/2013

MALAYSIA PERLU IKUT UNDANG2 VIETNAM BERKAITAN INTERNET ???

Vietnam larang warga kongsi dan bincang berita


VIETNAM telah menguatkuasakan satu undang-undang yang melarang warganya daripada berbincang mengenai berita ehwal semasa di Internet.
Menurut undang-undang yang juga dikenali sebagai Decree 72 itu, warga Vietnam tidak boleh berkongsi rencana berita di blog dan laman web sosial mereka, tetapi hanya boleh berkongsi maklumat peribadi sahaja.
Di bawah undang-undang yang telah menimbulkan kontroversi itu, server setempat syarikat Internet asing juga perlu berada dalam Vietnam sahaja.
Pelbagai syarikat Internet, kumpulan hak asasi manusia dan pemerintah Amerika Syarikat juga telah mengkritik undang-undang itu sejak ia diperkenalkan.
Vietnam merupakan sebuah negara komunis satu parti dan pihak berkuasanya masih mengawal media setempat dengan ketat.
Ramai aktivis, termasuk penulis blog, telah didapati bersalah kerana melakukan kegiatan anti negara di Vietnam tahun ini.
Dengan undang-undang baru itu, pengguna Internet di Vietnam hanya boleh menggunakan laman rangkaian sosial seperti Twitter dan Facebook untuk memberi dan bertukar-tukar maklumat peribadi.
Orang ramai juga dilarang menerbitkan sebarang bahan di Internet yang menentang pemerintah Vietnam atau menjejas keselamatan nasional.
Kedutaan Amerika Syarikat di Hanoi telah melahirkan rasa amat prihatin dengan undang-undang baru itu bulan lalu.
Menurut mereka, kebebasan asas harus diamalkan di alam maya (online), sama seperti ia diamalkan dalam hidup nyata.
Sebuah kumpulan media yang berpangkalan di Paris, Perancis, Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Without Borders), berkata undang-undang itu akan menyebabkan warga Vietnam tidak dapat menikmati maklumat bebas dan terus-terang yang biasanya terdapat di blog dan forum.
Sebuah kumpulan industri yang mewakili syarikat seperti Google dan Facebook, Asia Internet Coalition, pula menyifatkan langkah melaksanakan undang-undang itu sebagai menindas pembaharuan dan menghalang perniagaan daripada beroperasi di Vietnam.
Jun lalu, seorang pengkritik pemerintah, Dinh Nhat Uy, menjadi penulis blog ketiga yang diberkas dalam tempoh sebulan.
Menurut akhbar The Straits Times, Jawatankuasa bagi Melindungi Wartawan (CPJ) melahirkan rasa amat prihatin menyusuli pemberkasannya.
"Ketiga-tiga pemberkasan itu dalam tempoh sebulan menandakan usaha Vietnam mengambil tindakan keras ke atas wartawan Internet yang melahirkan pandangan mereka yang berbeza," kata Penyelaras Program Asia CPJ, Encik Bob Dietz. - BBC.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...