Isnin, 25 Mac 2013

22 TAHUN BERKAHWIN cerai isteri akibat langgar bai'ah kepada Pas

BACHOK 23 Mac - Bekas Timbalan Ketua Keselamatan Pas Kelantan, Shaidi Husin mendedahkan dia terpaksa bercerai dengan isteri yang dikahwininya selama 22 tahun akibat melanggar bai'ah yang dibuat kepada parti itu.
Shaidi, 45, memberitahu, talak ke atas isterinya terjatuh apabila dia berpaling tadah meninggalkan Pas untuk menyertai UMNO kira-kira tiga tahun lalu.

"Semasa hendak masuk Pas dahulu semua ahli kena bai'ah agar tidak jadi pembelot kepada parti seperti lompat parti, memecah rahsia parti dan sebagainya.

"Antara kandungan bai'ah itu ialah kalau belot pada perjuangan parti, maka saya dan isteri terjatuh talak dengan talak satu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, dia dan isteri terpaksa bercerai apabila bertindak keluar daripada Pas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Deklarasi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Tolak Pas yang dihadiri kira-kira 200 orang di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang, di sini.

Menurut Shaidi, dia pernah cuba untuk rujuk kembali, namun dihalang oleh ahli keluarga bekas isterinya itu yang merupakan penyokong tegar Pas.

Menceritakan pengalamannya semasa dalam Pas, Shaidi memberitahu, dia yang berpegang kepada 'Amanat Haji Hadi' turut menganggap orang UMNO sebagai musuh, darah mereka halal dan tidak memakan daging sembelihan mereka.

"Malah bapa saudara meninggal dunia pun saya tidak pergi ziarah sebab dia orang UMNO," dakwanya.

Bagaimanapun jelasnya, hatinya terbuka untuk meninggalkan Pas setelah mendapati banyak kepincangan berlaku dalam parti itu terutama membabitkan soal akidah, selain mendapat nasihat daripada arwah datuknya.

Selepas diberi mandat dengan begitu lama oleh rakyat, katanya, pemimpin Pas seolah-olah merasai diri mereka berada di satu darjat yang paling tinggi dan boleh menguasai perkara di luar batasan pemikiran manusia.

"Misalnya dalam kes khalwat seorang wakil rakyat Pas, saya pernah jumpa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan memaklumkan perkara itu kepadanya tetapi dia mempertahankan wakil rakyat tersebut dengan berkata 'Allah dah ampunkan dosa dia'.

"Ini antara satu perkara yang saya tidak boleh terima. Nik Abdul Aziz tahu Tuhan telah ampun atau tidak dosa seseorang," ujarnya.

Menurutnya, dia begitu taksub kepada Pas sejak di bangku sekolah lagi.

"Sehinggakan buku teks sekolah saya balut dengan poster-poster Pas yang berlambangkan bulan.

"Tetapi apa boleh buat, saya lebih takut dengan hukum Allah dan tidak akan berkompromi dengan parti yang sanggup menggadai agama demi kepentingan politik," katanya.

Dakwa Shaidi, dia pernah diugut akan dibunuh, dicederakan manakala kereta miliknya dirosakkan gara-gara mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam Pas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...