Translate

25/02/2013

Pakatan Haram lancar manifesto sarat dengan janji


SHAH ALAM: Seperti yang dijangka, manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU ke 13 dilimpah dengan pelbagai imbuhan, pembatalan projek tertentu, penurunan cukai dan dana lumayan untuk pengundi yang disasarkan.

Malah pakatan pembangkang itu menjanjikan RM50 sebulan untuk setiap isteri dengan syarat suami mencarum sehingga RM100 dalam skim caruman wanita kebangsaan.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli memerinci dokumen berjudul “Manifesto Rakyat” itu pada konvensyen Pakatan Rakyat di sini. Beliau mengulangi janji menurunkan harga minyak, tarif elektrik dan air serta menghapuskan tol dan menurunkan harga kereta.

Selain itu Pakatan Rakyat juga berjanji menghapuskan PTPTPN, sistem kawalan trafik AES dan menyediakan perkhidmatan wad percuma di hospital awam.

Manifesto 35 mukasurat itu juga dipenuhi dengan janji untuk menyediakan satu juta peluang pekerjaan baru, gaji minima RM1,100 sebulan dan tabung RM2bilion untuk majikan yang tidak cukup modal menampung gaji minima itu.
Rafizi turut berjanji untuk mengurangkan cukai pendapatan untuk sebahagian besar daripada rakyat Malaysia.

Dalam membentangkan segala ganjaran dan insentif itu, Rafizi mahupun mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat tidak menjelaskan bagaimana pihaknya boleh menampung perbelanjaan begitu besar.

Pemerhati dan penganalisis luar negara menyifatkan janji-janji itu, jika di penuhi sekali gus, akan memudaratkan kewangan negara.

Laporan terbaru Economist Intelligence Unit menyifatkan janji-janji “mahal” pembangkang sebagai tindakan khusus untuk mendapatkan sokongan pengundi.

Laporan itu menegaskan bahawa Pakatan tidak mempunyai rancangan bernas untuk mengurangkan defisit negara, sebaliknya ia menawarkan pelbagai insentif yang akan memberi kesan kepada pendapatan kerajaan.

Sebagai contoh penghapusan PTPTN akan membabitkan perbelanjaan kerajaan RM43 bilion setahun manakala penghapusan cukai kereta akan menyebabkan kerajaan Pakatan hilang pendapatan RM4.6 bilion setahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional tidak akan menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi hanya untuk mendapatkan undi.

Beliau sebelum ini berkata janji-janji pembangkang boleh membankrapkan negara.

Meskipun dikecam dengan pelbagai tuduhan oleh pembangkang, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus tahun lepas berbanding 5.1 peratus pada 2011.

Bank Negara berkata, meskipun persekitaran ekonomi global yang mencabar, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 6.4 peratus pada suku keempat tahun lepas.

Pencapaian itu jauh lebih tinggi berbanding negara jiran termasuk Singapura.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...