Translate

12/02/2013

JUJUR TUNJANG KEJAYAAN

Ahli UMNO yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan serta tidak terbabit dengan masalah disiplin tidak perlu takut dengan jawatankuasa disiplin parti itu yang digerakkan lebih awal sebelum pilihan raya bagi memantau salah laku disiplin ahlinya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, keputusan untuk menggerakkan jawatankuasa disiplin UMNO adalah satu usaha yang baik untuk memperkukuhkan parti selain memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Menurut Shafie, saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan tindakan itu adalah perkara yang perlu disokong untuk memastikan usaha ahli parti yang mahu mensabotaj parti dikekang lebih awal.
“Keputusan untuk menggerakkan jawatankuasa disiplin parti penting untuk memastikan ahli UMNO yang mempunyai niat untuk mensabotaj parti dapat ditangkis dan ini penting untuk memastikan kemenangan besar diperoleh UMNO dan BN dalam PRU13 nanti.
“Apa yang dilakukan ini adalah berdasarkan tindakan segelintir pihak yang sanggup tidak keluar mengundi kerana kecewa tidak dipilih menjadi calon. Jadi mereka yang benar-benar ikhlas tidak perlu takut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program mesra rakyat di Parlimen Kuala Selangor, di sini, semalam. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, berdasarkan jumlah keahlian UMNO dan BN yang mendaftar di setiap negeri dan kawasan, parti berkenaan mempunyai peluang untuk menang.
“Kalau berdasarkan sesetengah kawasan, jumlah ahli kita ramai, jadi tidak mungkin kita kalah di kawasan berkenaan kecuali cubaan ahli sendiri untuk sabotaj dan ada yang tidak memangkah kita,” katanya.
Shafie berkata, setiap bahagian akan mempunyai ahli jawatankuasa pelaksanaan dan memantau sebarang tindakan atau aktiviti yang merosakkan terhadap parti. Najib sebelum ini dilaporkan berkata, penelitian mengenai salah laku disiplin ahli parti itu akan diteliti Jawatankuasa Pengurusan parti yang dipengerusikan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Najib berkata, keperluan untuk menggerakkan jawatankuasa disiplin itu lebih awal bagi membolehkan parti bersikap lebih proaktif, sekali gus mengelak parti daripada menerima kesan buruk daripada tingkah laku ahli yang bertentangan peraturan parti.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...