Translate

21/01/2013

Harussani : ‘Azmin Jangan Memandai-Mandai Bercakap Hal Kalimah Allah’

Kuala Lumpur: PKR hanya mengutamakan kepentingan politik kerana tidak mempedulikan keputusan Majlis Syura PAS melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali harus menyerahkan aspek berkaitan agama, terutama kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam kitab berkenaan kepada ulama dan bukannya bersikap memandai-mandai menolak keputusan Majlis Syura PAS.
Hormati Majlis Syura
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan, pemimpin politik bukan ulama seperti Azmin tidak boleh mengetepikan keputusan Majlis Syura PAS itu, sebaliknya harus menghormatinya bukan untuk kepentingan politik, malah yang lebih penting ialah untuk memelihara akidah umat Islam.
Beliau berkata, Majlis Syura PAS sudah memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu, sekali gus membatalkan pandangan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum itu dilaporkan bersetuju supaya kalimah Allah boleh digunakan orang bukan Islam tetapi tidak boleh diterjemahkan dalam semua bahasa.
“Saya baru kembali dari menunaikan umrah semalam (kelmarin). Saya berdoa di depan Kaabah supaya Islam di negara ini terpelihara dan begitu juga dengan umatnya.
“Apa-apa perkara berkaitan agama, serahkan kepada ulama. Azmin jangan memandai-mandai bercakap hal berkaitan kalimah Allah. Apa perasaan kita kalau satu hari nanti kita tengok ada lambang salib diletakkan pada kalimah Allah?
“Jangan main-main dengan kalimah Allah. Saya bimbang kalau perkara ini tidak dibendung akan menyebabkan pertelingkahan agama di negara kita,” katanya kepada BH semalam.
Beliau mengulas kenyataan Azmin kelmarin yang mendakwa mewakili keputusan semua pemimpin pakatan pembangkang berdasarkan kenyataan Abdul Hadi yang bersetuju kalimah Allah digunakan orang bukan Islam tetapi tidak boleh menterjemahkannya.
Azmin memberi alasan mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu sepakat bersetuju kalimah Allah boleh digunakan orang bukan Islam tetapi tidak boleh menterjemahkannya dan Majlis Syura hanyalah satu organisasi dalam PAS, sekali gus tidak menggambarkan keputusan pemimpin pakatan pembangkang.
Tak hormati Majlis Syura
Ketua Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya, berkata: “PAS harus meneliti semula kerjasama dengan PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang. PKR sama sekali tidak akan menghormati pendapat ilmuwan Islam dalam PAS kerana yang lebih penting bagi parti itu ialah menang pilihan raya,” – BH

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...