Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadi benteng terakhir yang akan mempertahankan kedaulatan institusi raja-raja Melayu di negara ini daripada terus dicabar dan digugat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, angkatan tentera yang ditubuhkan melalui kuasa raja-raja berikrar untuk terus melindungi institusi itu daripada sebarang ancaman yang menggugat kedaulatannya.
“Kita akan bersama-sama dengan institusi raja jika ada individu, organisasi apatah lagi parti-parti politik yang cuba mencabar kuasanya di negara ini.
“Jika ada pihak yang cuba mengguris hati raja-raja Melayu, angkatan tentera akan bangun mempertahankannya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) dan Syarahan Umum Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.
Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan majlis itu dan melancarkan lapan buku yang ditulis oleh tenaga akademik UPNM.
Hadir sama, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Nor.