Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan diberi sambutan meriah semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat Terengganu di Kuala Nerus, Khamis ini, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang. 

Beliau berkata, persiapan menyambut kedatangan Najib yang dijangkakan hadir menyampaikan bantuan jubah kepada imam dan bilal di padang bola, bersebelahan Masjid Kampung Padang Nanas di sini pada sebelah petang yang dijangka dihadiri sekitar 10,000 tetamu.

"Sebelum majlis berbuka puasa nanti, Perdana Menteri akan menyampaikan bantuan jubah kepada imam dan bilal di kawasan Parlimen itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa membuat tinjauan kerja-kerja persiapan majlis berkenaan di sini, hari ini. 

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata, Najib juga akan menyampaikan sumbangan Ihsan Ramadan kepada anak yatim, orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan orang kurang berkemampuan di kawasan itu. 

"Perdana Menteri dijadual menunaikan solat Isyak dan bertarawih di Masjid Wakaf Tembesu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur," katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Adun) Tepoh, Muhamad Ramli Nuh berkata, ketibaan Najib di masjid Kampung Padang Nanas akan disambut oleh 55 imam dan bilal yang berselawat sebagai simbolik sempena sambutan 55 tahun Hari Kemerdekaan. 

Katanya, pada sambutan itu juga, 55 orang kampung akan menyambut Najib dengan menjunjung dulang yang berisi lauk pauk dan kuih bagi majlis berbuka puasa secara tradisional. 

Beliau berkata, juadah yang disediakan untuk berbuka puasa itu merupakan juadah makanan tradisional Terengganu iaitu nasi berlaukkan gulai daging, ikan goreng, ulaman, sambal belacan dan pelbagai kuih tradisional. 

Katanya, tugas menghidangkan nasi dan kuih muih itu diserahkan kepada Pergerakan Wanita Umno yang akan mengagih-agihkan masakan selain tempahan untuk dihidangkan kepada lebih 10,000 tetamu pada hari berkenaan. 

"Kita akan sediakan kuih tradisonal istimewa seperti Taik Itik, Tok Haji Serban, Nekbat dan lain-lain sebagai kelainan juadah pada majlis berbuka puasa berkenaan," katanya.