Dipetik dari mstar.com.my
Akhil Hayy Tidak Mahu Artis ‘Berhijrah’ Jadi Mangsa Orang Politik
KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas Ustaz Akhil Hayy menasihati golongan artis yang baru berhijrah dan kembali mendekati agama Islam supaya berhati-hati agar tidak dipergunakan oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab.
Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai berkata, keadaan itu sering berlaku tanpa disedari bagi kebanyakan artis yang baru berhijrah di mana ia bermula dengan jemputan menghadiri sesebuah taklimat untuk berkongsi kisah perubahan diri masing-masing.
"Kalau saya cakap, pasti ada pihak yang marah nanti. Tetapi ia pernah berlaku kepada diri saya ketika mula-mula penghijrahan saya dulu di mana ada sesetengah pihak yang menggunakan saya kononnya untuk ditemu bual dalam sesebuah taklimat.