KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Karpal Singh akan terus berdepan pertuduhan
mengikut Akta Hasutan selepas Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk meneruskan
pertuduhan itu terhadapnya.
Karpal didakwa mengeluarkan
perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak, tiga tahun
lalu.
Jagdeep Singh Deo yang mewakili Karpal Singh, memberitahu mahkamah
bahawa pihak pembelaan mengemukakan surat representasi kepada Pejabat Peguam
Negara bertarikh 26 Julai.
"Bagaimanapun, pihak pembelaan menerima surat
dari Pejabat Peguam Negara bertarikh 26 Julai mengarahkan kami untuk meneruskan
pertuduhan itu," beliau memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah,
yang mendengar prosiding itu.
Pada prosiding hari ini, mahkamah juga
mendengar hujah daripada Karpal Singh untuk mengetepikan pertuduhan
hasutannya.
Dalam permohonannya, antara lain, Karpal Singh mahu mensapina
bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad, Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk
Ibrahim Ali, Anggota Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan Anggota
Parlimen Pendang Datuk Osman Abdul, berhubung usahanya mengetepikan pertuduhan
itu.