SHAH ALAM - Pengamal paranormal Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers ditahan polis malam tadi berhubung penyiaran artikel dalam blognya minggu lalu, yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor.
Sinar Harian Onlinedifahamkan beliau ditahan di Senawang, Negeri Sembilan kira-kira jam 10 malam sebelum dibawa ke Nusajaya, Johor.
"Saya difahamkan dia ditahan malam tadi. Orang beritahu saya dia ditahan. Saya belum dapat pengesahan. Dia pun belum hubungi saya," kata bapanya, Syed Hussein Alattas atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Habib ketika dihubungi sebentar tadi.
Berdasarkan laporan media 1 Julai lalu, 30 individu membuat laporan polis terhadap Uncle Seekers berhubung penyiaran artikel dalam blognya yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Sentral, Johor Bahru bagi memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap blog uncleseekers.blogspot.com yang turut berunsur mengaibkan Tunku Mahkota Johor, pemimpin dan penjawat awam kerajaan Johor.