Kuala Terengganu: Bilangan mangsa banjir di seluruh negeri ini semakin meningkat apabila seramai 5,297 orang daripada 1,338keluarga kini ditempatkan di 93 pusat pemindahan sehingga jam 5 petang, semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata, daerah Besut mencacatkan mangsa paling ramai ditempatkan di 16 pusat pemindahan membabitkan 1096 mangsa daripada 243 keluarga.

Katanya, di Setiu seramai 717 mangsa daripada 193 keluarga berada di 18 pusat pemindahan diikuti Dungun yang kini semakin meningkat seramai 744 mangsa daripada 186 keluarga berada di 13 pusat pemindahan di daerah itu.

“Mangsa di Kemaman pula seramai 611 mangsa daripada 189 keluarga dan 13 pusat kini sudah dibuka,” katanya. Selain itu, di Marang seramai 269 mangsa daripada 67 keluarga berada di sepuluh pusat pemindahan manakala Hulu Terengganu, 1052 mangsa daripada 249 keluarga di 16 pusat pemindahan diikuti Kuala Terengganu seramai 808 mangsa daripada 211 keluarga di lapan pusat pemindahan. 

Katanya, pihaknya menjangkakan bilangan mangsa yang akan dipindahkan ke pusat pemindahan akan meningkat terutama di tiga daerah iaitu Dungun, Setiu dan Kemaman. 


Jalan yang dinaiki air adalah Jalan Kuala Berang-Sungai Tong sedalam 1.2 meter, Jalan Bukit Diman/Pengkalan Ajal-Felda Tersat (1.3 meter), Jalan Utama Mengkawang-Tersat (1.4 meter), Jalan Matang-Nibong-Kuala Telemong (1.0 meter), Jalan Permaisuri-Hulu Seladang (0.8 meter), Jalan sungai Tong-Pelong (0.7 meter).

Jalan Kampung Kejir-Kampung Bukit Perah (1.0 meter), Jalan Guntung Luar-Saujana (0.5 meter), Jalan Kerteh-Pasir Akar-Keruak (1.0 meter), Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (0.1 meter).