Translate

30/11/2012

Anwar umpama ‘sesumpah politik’, kata Najib

KUALA LUMPUR, 29 Nov ― Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak hari ini menggelar seteru politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “sesumpah politik” kerana sering berdolak-dalih dalam kenyataannya.
Perdana menteri itu turut menegaskan ketua pembangkang yang juga penasihat ekonomi Selangor itu bukanlah pengurus ekonomi yang cekap, serta memiliki “lidah bercabang”.
“Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik ... bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya.
“Semasa bersama kita dalam Umno, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya berubah pula,” kata Najib ketika Ucapan Dasar Presiden sewaktu Perhimpunan Agung Umno di sini.
Najib turut menasihati Anwar agar tidak menjadi “Si Kitul moden” ekoran tindakannya yang meminta bantuan Australia untuk memantau pilihan raya umum ke-13 akan datang kerana dikatakan tidak telus dan bersih.
“Tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza.
“Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen ... dah ... dia menyokong pula ... heran ... heran,” kata Najib.
Beliau juga berkata, tindakan Anwar menjemput kuasa asing memantau pilihan raya negara ini hanya akan mengaibkan negara serta menghina intelektual negara kita.

"Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.

"Tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair," tegas Najib.

Beliau menegaskan, pemimpin negara ini sudah masak dengan sistem dan selok belok pemerintahan negara.

"Dah lebih separuh abad pun kita merdeka ... tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi," katanya merujuk kepada negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya 2008," kata Najib lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...