Translate

13/10/2012

Pegawai Awam Mahu Ke Luar Negara Perlu Dapat Kelulusan KSN, KSU

KUALA LUMPUR: Semua pegawai awam yang hendak ke luar negara atas urusan persendirian mesti mendapat kelulusan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha kementerian masing-masing, berkuat kuasa 1 Oktober.
Perkara itu dinyatakan menerusi Surat Pekeliling Am bilangan 3 Tahun 2012 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 1 Okt, selaras dengan usaha menambah baik kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.
Surat itu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa bagi menggantikan Surat Pekeliling Am bertarikh 1 Mac 1984 dan 11 Jun 1986.
Menurut pekeliling terkini itu, pegawai terbabit perlu membuat perakuan mematuhi arahan keupayaan kewangan yang mencukupi untuk ke negara yang dilawati.
Selain itu, mereka juga perlu memastikan lawatan tidak dibiayai individu atau syarikat swasta yang boleh menimbulkan syak munasabah bahawa pegawai telah mengutamakan kepentingan peribadinya berbanding tugas awam pegawai atau membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas rasmi pegawai.
Bagi pegawai yang sering berulang-alik ke luar negara jiran yang bersempadan dengan Malaysia, permohonan juga perlu dibuat melalui Borang Permohonan Perjalanan Pegawai Awam Ke Luar Negara Atas Urusan Persendirian.
Manakala pegawai yang sedang mengambil Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) di dalam atau luar negara hanya perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada penyelia akademik di pusat pengajian dan memaklumkan kepada Ketua Jabatan dan Ketua Perkhidmatan pegawai awam untuk direkodkan.
Mereka juga tidak dibenar mengunjungi mana-mana negara yang dilarang kecuali dengan kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...