Sabtu, 15 September 2012

Penerbit filem hina Islam guna 10 nama, pernah tipu bank

Penerbit filem hina Islam guna 10 nama, pernah tipu bank
Rumah Nakoula Basseley Nakoula di Cerritos, California menjadi tumpuan media sejak beberapa hari lalu
LOS ANGELES - Pegawai-pegawai persekutuan Amerika Syarikat (AS) sedang mengkaji semula tempoh pemantauan ke atas seorang penduduk tempatan, yang dipercayai menghasilkan filem yang mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Jurucakap Pejabat Pentadbiran Mahkamah AS, Karen Redmond berkata, Nakoula Basseley Nakoula telah disabitkan bersalah pada 2009 berhubung kesalahan menipu bank.

Hukuman yang dijatuhkan meletakkan dia di bawah pemantauan selama lima tahun.

Pegawai-pegawai persekutuan mengesyaki Nakoula sebagai individu yang bertanggungjawab menerbitkan filem Innocence of Muslims.

Laporan media menyebut lelaki itu menggunakan nama yang berlainan, tetapi Associated Press melaporkan dia orang yang sama.

Dipetik CNN, Redmond berkata, semakan semula hukuman pemantauan masih berjalan.

Bagaimanapun beliau tidak memberi maklumat bila dan sebab semakan ke atas pemantauan diadakan, selain bila proses itu akan selesai.

Sepanjang pemantauan, Nakoula tidak boleh mengguakan komputer atau mana-mana peralatan yang membolehkan dia akses kepada Internet tanpa kebenaran pegawai pemantau.

Dia pernah menjalani hukuman penjara selama setahun di Lompoc, California.

Bagaimanapun pegawai-pegawai mahkamah tidak dapat memberi maklumat sama ada Nakoula telah memulangkan kembali AS$794,700 (lebih RM2.1 juta) sebagaimana diarahkan oleh mahkamah.

Sejak sedutan filem itu disebar luas menerusi YouTube, Nakoula dilaporkan sudah menghilangkan dirinya daripada publik dan tinggal bersama keluarganya di rumah mereka di Cerritos, California. Kawasan rumahnya juga kini menjadi tumpuan wartawan.

Cerritos terletak kira-kira 35 kilometer ke tenggara Los Angeles.

Filem itu, dihasilkan oleh kumpulan anti-Islam di AS, satu projek kos rendah yang tidak dipandang di AS ketika mula ditayangkan tiga bulan lalu.

Bagaimanapun ia mencetuskan protes dan keganasan di Mesir, Yaman, Tunisia, Maghribi, Sudan, Iran, Iraq, Palestin dan wilayah Palestin, serta di Indonesia dan Malaysia, apabila dimuat naik menerusi YouTube.

Minggu ini, FBI telah menghubungi penerbit filem itu ekoran risiko ancaman, kata seorang pegawai penguat kuasa undang-undang persekutuan kepada CNN kelmarin.

Bagaimanapun dia tidak tertakluk kepada siasatan.

Satu laporan awal awam mengenai Nakoula muncul awal minggu ini apabila dia menghubungi Jabatan Sheriff Los Angeles malam Rabu lalu untuk membuat laporan mengenai gangguan, kata jurucakap polis Steve Whitmore.

Dia mahu polis tempatan memberi perlindungan ke atasnya.

Apabila berita mengenai filemnya muncul, penerbitnya mengelar dirinya, Sam Bacile.

Bacile memberitahu Wall Street Journal berkata, dia seorang keturunan Israel-AS berusia 52 tahun, dan merupakan ejen hartanah dari California.
Katanya, penderma Yahudi membiayai filem itu.

Seorang anggota staf penerbitan, yang pernah terlibat dalam peringkat awal pembikinan filem itu memberitahu CNN bahawa nama yang diisi pada borang Screen Actors Guild adalah "Abenob Nakoula Bassely". Penyelidikan rekod awam menunjukkkan Abanob B. Nakoula tinggal di alamat yang sama dengan Nakoula Basseley Nakoula.

Dia percaya bahawa penerbit filem itu seorang Kristian Koptik dan ketika mereka bercakap menerusi telefon semasa penggambaran berjalan, Nakoula pernah berkata dia berada di Iskandariah, Mesir untuk menjana dana bagi filemnya.

Mesir pernah menyaksikan ketegangan antara masyarakat Islam dan minoriti 'Copts'.

Seorang lagi yang pernah terlibat dalam penghasilan filem ini berkata, dia mengenali penerbit filem dengan nama Sam Bassil.

Dia menandatangani cek menggunakan nama itu.

Apabila CNN membuat penyelidikan mengenai Sam Bassil, pejabat Peguam Negara menghantar satu salinan tuduhan yang dibawa pada 2009.

Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Nakoula disabitkan kesalahan berhubung kes menipu bank.

Beberapa nama sampingan atau nama lain juga disertakan dalam kertas tuduhan iaitu Mark Basseley Youssef, Yousseff M. Basseley, Nicola Bacily dan Malid Ahlawi. Dokumen mahkamah yang lain menggunakan Thomas J. Tanas, Ahmad Hamdy dan Erwin Salameh sebagai alias.

Dalam temu bual dengan Wall Street Journal, penerbit itu menyifatkan filemnya sebagai "satu usaha untuk membawa perhatian kepada hipokrasi Islam."

"Islam itu kanser," dakwanya.

"Filem ini filem politik, bukan filem agama," katanya mempertahankan pembikinan filem yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa termasuk Duta AS ke Libya, Christopher Stevens.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...