Translate

21/09/2012

Nik Aziz sokong Pemuda UMNO, Pemuda Pas bergabung anjur protes

KOTA BHARU 19 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong hasrat Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas bersama-sama mengadakan protes membantah filem anti-Islam, Innocence of Muslims.

Pada masa sama, beliau berharap bantahan itu turut disusuli tindakan yang boleh memberi pengajaran kepada pihak yang melakukan penghinaan tersebut.

"Orang Islam khususnya dan orang Melayu umumnya perlu berbuat sesuatu supaya pihak yang melakukan penghinaan ini sedar, jika tidak perkara ini akan membawa kepada perkara lain dan akhir sekali pembunuhan seperti terjadi di Tunisia.

"Biar pihak itu sedar perbuatannya mendapat tentangan dan jangan kita berdoa atau sembahyang hajat sahaja, itu tidak betul. Protes itu betul, tetapi cara lain terserah kepada keadaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk tindakan lain yang boleh diambil selain melakukan bantahan.

Nik Abdul Aziz mengulas mengenai cadangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu mengadakan protes besar-besaran bersama Dewan Pemuda Pas terhadap filem anti-Islam, Innocence of Muslims Jumaat ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam yang akidah mereka terpengaruh dengan anasir luar, kembali kepada Islam untuk memperkuatkan lagi agama tersebut.

"Orang Islam sendiri ada yang mendedahkan diri kepada penghinaan terhadap Islam, jadi bagaimana (orang lain tidak ambil kesempatan).

"Cadangan saya adalah insaflah. Kita orang Islam jangan sesekali tolak Islam dalam hidup kita, nanti orang lain buat lebih teruk kepada Islam," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...