Selasa, 11 September 2012

Malaysia sangat kecewa dengan Kedutaan Jerman


Wisma Putra menegaskan kepada Duta Besar Jerman Dr Guenther Georg Gruber bahawa Malaysia memandang berat isu sumbangan dana kedutaan itu kepada Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB) yang berkait langsung dengan badan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Pada pertemuan dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Datuk Husni Zai Yaacob, Jumaat lepas, duta itu juga diberitahu Malaysia sangat kecewa apabila mengetahui kedutaan tersebut terlibat dalam sumbangan dana kepada SUARAM.

"Wisma Putra telah menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia berasa kurang senang dengan tindakan Kedutaan Besar Jerman itu kerana boleh disalah tafsir dan dilihat sebagai mencampuri urusan dalaman Malaysia," kata Wisma Putra dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, perwakilan asing seharusnya peka terhadap sensitiviti negara tuan rumah dan cara hubungan baik dapat dijalin serta dikekalkan, selain mereka tidak seharusnya terlibat dalam aktiviti yang menunjukkan kecenderungan mereka terhadap sesetengah isu, yang mempunyai implikasi ke atas situasi domestik Malaysia.

Kenyataan itu juga menyatakan pada pertemuan tersebut Gruber menjelaskan Kedutaan Besar Jerman mempunyai polisi untuk tidak menyumbang dana secara terus kepada mana-mana organisasi atau institusi.

Gruber berkata sumbangan dana hanya dibuat berdasarkan kepada projek yang berkait rapat dengan nilai-nilai Jerman termasuk isu berkaitan hak asasi manusia.

Katanya dana sedemikian turut disumbang kepada agensi kerajaan, univesriti dan projek berkaitan tanggungjawab sosial korporat.

Kata Gruber, dalam kes itu, sumbangan yang dimaksudkan diguna untuk penganjuran bengkel di Kuala Lumpur pada November 2010 yang dihadiri 21 NGO.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...