Khamis, 27 September 2012

JET PM BAYANGAN - Kos 2 hari sewa jet eksekutif RM96,000


KUALA LUMPUR 25 Sept. - Kos menyewa jet eksekutif selama dua hari untuk membawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin pakatan pembangkang ke Labuan, Sabah pada pertengahan bulan ini adalah RM96,000 (AS$30,000).

Menurut sumber, kos tersebut meliputi semua caj termasuk bayaran juruterbang, jurutera dan perkhidmatan lain yang dikenakan Tjets Sdn. Bhd. (Tjets).

Difahamkan juga urusan tempahan jet berkenaan dilakukan oleh seorang individu dari Sarawak.

Sementara itu Pengerusi Tjets, Datuk Mohd. Taufik Omar ketika dihubungi Utusan Malaysia menjelaskan, beliau tiada hubungan persahabatan dengan Anwar, sebaliknya perkhidmatan pengurusan penerbangan jet eksekutif yang dinaiki oleh ketua pembangkang itu dilakukan secara profesional.

Jelasnya, beliau tidak mengetahui bahawa Anwar akan menjadi penumpang jet eksekutif berkenaan apabila tempahan dibuat.

"Sehinggalah jet mahu berlepas baru saya tahu yang antara penumpang jet tersebut ialah Anwar dan rakan-rakannya. Saya orang berniaga dan saya menguruskan tempahan secara profesional. Saya tidak pula memeriksa siapa yang akan menjadi penumpang apabila sesuatu tempahan jet eksekutif dibuat," jelasnya.

Sebelum ini seorang penulis blog, John F. Seademon mendakwa Mohd. Taufik yang menyewakan jet tersebut kepada Anwar.

Kisah mengenai jet tersebut mula tercetus apabila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua pada laman Twitternya telah memuat turun gambar jet eksekutif yang diberi nama Dassault Falcon pada 15 September lalu yang kemudian telah dipetik oleh beberapa blog antaranyahttp://mediawangsamaju.blogspot.com.

Selain Anwar, turut menaiki jet eksekutif berkenaan ialah Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw; Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Hatta Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin.

"Apabila saya melihat Anwar menjadi penumpang jet tersebut, apa yang boleh saya buat? Tidak mungkin saya meminta Anwar dan rakan-rakannya turun. Saya hanya sekadar boleh beristighfar dan tunggu apa yang akan berlaku selepas itu," kata Mohd. Taufik lagi.

Menurutnya, tidak banyak syarikat bumiputera yang terlibat dengan industri pengurusan penyediaan jet eksekutif di negara ini, oleh itu tidak adil bagi mana-mana pihak menuding jari menuduhnya ada kaitan dengan Anwar hanya kerana hal itu.

"Saya hanya cari makan dan ini adalah salah satu bidang perniagaan saya. Adakah saya bersalah hanya disebabkan Anwar menjadi salah seorang penumpang dalam jet yang diuruskan oleh syarikat saya.

"Saya amat berharap penjelasan ini menceritakan perkara yang sebenarnya berlaku," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...