Translate

18/08/2012

Nik Aziz dan Hadi membisu demi DAP


SEPANG: “Kerana percaturan politik, mereka mendiamkan diri umpama syaitan bisu seperti yang diungkapkan oleh pimpinan tertinggi parti (Pas),” tegas bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang mengulas sikap membisu parti Islam itu selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh sekali lagi menyatakan penentangannya terhadap hukum hudud.

Beliau hairan dengan tindakan parti itu terus bersekongkol dengan DAP yang secara terang memusuhi dan memerangi Islam.


Tegasnya, sehingga kini Pas belum menyatakan pendiriannya terhadap Karpal. “Saya kekal dengan pendirian saya bahawa Karpal Singh bukan hanya sekadar anti hudud malah anti-Islam dan sebagai seorang peguam, dia tahu apa itu undang-undang substantif dan prosiding.



“Beberapa kali dia menyatakan bahawa pelaksanaan Islam adalah ‘over my dead body’ dan ini menunjukkan dia sanggup mati mempertahankan pendiriannya maka saya juga berpendirian sanggup melakukan apa saja untuk pertahankan agama saya,” katanya kepada media selepas tiba dari Jeddah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.


Katanya lagi, Pas harus tegas menyatakan pendiriannya kerana sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum kepada parti itu adalah kerana perjuangan menegakkan syariah Allah.



“Persoalan saya adakah tahalluf siasi (kerjasama politik) diamalkan PAS turut membolehkan kesepakatan dengan mereka yang menolak dan memerangi Islam,” tegasnya.




Nashrudin yang juga Ahli Parlimen Bachok sebelum ini secara terbuka mempertikaikan keputusan parti berhubung penolakan DAP terhadap penubuhan negara Islam.


Ekoran itu, Dewan Pemuda Pas membidas bekas pemimpin nombor dua parti itu dan digesa bertemu pucuk pimpinan parti jika tidak berpuas hati.



Dalam pada itu, Nasharudin berikrar tidak membiarkan pihak lain menghina Islam.


Beliau berharap, pucuk pemimpin parti sekutu DAP itu segera membuat penjelasan kepada rakyat kerana tidak memahami tindakan parti itu.



“Pimpinan Pas mungkin sudah faham dan ahlinya mengerti, tetapi masyarakat umum masih menanti penjelasan. Pas tidak akan menang dengan hanya undi ahlinya sahaja,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...