Translate

06/08/2012

Manisan Kg. Batangan, Marang Dapat Sambutan Luar Biasa Di Bulan Ramadan

MARANG, 5 Ogos (Bernama) -- Gula melaka atau lebih dikenali sebagai manisan di kalangan penduduk pantai timur merupakan antara bahan penting dalam penyediaan kuih-muih tradisional seperti ondeh-ondeh, puteri mandi dan lompat tikam.

Malah pengusaha manisan di Terengganu tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan yang meningkat pada bulan Ramadan ini daripada penjual makanan dan kuih muih untuk manisan yang dikenali sebagai "nisang" di negeri ini.

Bagi pengusaha manisan Manis Sokmo Enterprise, Mohd Khani Habsu, 47, pada bulan puasa permintaan terhadap 'nisang' meningkat berlipat ganda daripada 100 keping sehari kepada 1,500 sehingga 2,000 keping sehari.

"Jika sebelum ini, kita menggunakan 30 liter air nira kelapa dengan lima guni gula, namun pada bulan Ramadan, kita memerlukan 100 liter air nira dengan lapan guni gula untuk memenuhi permintaan," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, selain bulan Ramadan, permintaan terhadap manisan tersebut turut meningkat dua kali ganda setiap kali tiba musim perayaan mahupun musim cuti sekolah.

Mohd Khani berkata produknya banyak dipasarkan di pasar raya di sekitar Kuala Terengganu dan setiap satu dijual dengan harga 90 sen hingga RM3.50 sekeping bergantung kepada kualiti manisan itu.

Katanya, manisan itu terdiri daripada beberapa jenis iaitu manisan asli yang kandungannya 100 peratus air nira atau sedikit campuran gula, manisan tuak iaitu kandungan gula sama banyak dengan air nira, dan manisan campur iaitu kandungan gula lebih banyak berbanding air nira.

Beliau yang mengusahakan perusahaan itu bersama isterinya di Kampung Batangan di sini sejak tujuh tahun lalu telah berjaya mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dua tahun lepas.

Selain mengusahakan manisan itu, pasangan ini juga turut membuat dan menjual dodol yang dibungkus menggunakan daun palas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...