Translate

27/07/2012

Tindakan tegas perlu diambil ke atas Tan Sri dan Ahli Politik PALSU

Ahli politik, Tan Sri antara beli ijazah palsu
Tun Hisan Tun Hamzah (dua kiri) menunjukkan gambar cop rasmi Universiti, semasa sidang media Pemalsuan Ijazah, di IPK Selangor di Shah Alam, hari ini. – Foto Bernama

Ahli politik, Tan Sri antara beli ijazah palsu

SHAH ALAM - Kejayaan polis menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu bernilai lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara, turut mendedahkan pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan awal mendapati 525 orang 'graduan' tempatan serta asing dikesan terlibat membeli sijil palsu sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, identiti semua 'graduan segera' yang terlibat, termasuk ahli politik dan individu bergelar Tan Sri, sedang dikenal pasti.

"Berdasarkan risikan serta gambar-gambar yang dirampas, kita kenal pasti ada individu-individu berstatus yang terlibat.

"Apabila maklumat sudah mencukupi, kita akan panggil mereka bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), Selangor, hari ini.

Menurutnya, sepasang suami isteri yang merupakan dalang sindiket menjual sijil palsu terbabit ditahan pihaknya semalam.

Katanya, suspek lelaki yang juga pengarah syarikat berusia 37 tahun, ditahan di Cheras, manakala isterinya, seorang pensyarah berusia 36 tahun, ditahan di pejabat mereka di USJ 10, Subang Jaya.

"Kedua-dua mereka direman empat hari sehingga esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Tun Hisan berkata, dalam serbuan di pejabat suspek, pihaknya merampas senarai-senarai penerima sijil, dokumen-dokumen permohonan, sijil ijazah palsu, gambar konvokesyen, kad pelajar serta pelbagai risalah.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek menjalankan operasi terbabit sejak 2003 dan mendapat pelanggan melalui ejen tertentu yang dihantar untuk mencari pembeli termasuk secara online.

Katanya, suspek menawarkan sijil palsu dengan harga RM6,500 bagi ijazah, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (doktor falsafah) dalam pelbagai jurusan yang kononnya diiktiraf oleh lima universiti luar negara, antaranya University of Rockhampton, Harvey International University, Cannington Brook University dan Charles Molnar University.

"Bagaimanapun tidak semua universiti terbabit wujud dan setakat ini suspek dikenal pasti mengaut keuntungan melebihi RM5 juta hasil kegiatan berkenaan. Pembeli sijil juga maklum sijil diterima adalah palsu.

"Pelanggan juga hanya perlu membayar wang mengikut sijil yang dikehendaki dan mereka tidak perlu belajar, mengambil ujian atau menghantar kertas kerja," katanya.

Tun Hisan berkata, setelah jumlah pelanggan yang didaftarkan mencukupi, satu majlis konvokesyen akan diadakan di mana-mana hotel terkemuka di Lembah Klang, kononnya untuk mengiktiraf penerima ijazah atau 'graduan' terbabit.

Menurutnya, majlis itu dijalankan sama seperti majlis konvokesyen yang diiktiraf dan penerima ijazah palsu turut memakai pakaian konvokesyen selain ahli keluarga dijemput hadir. Katanya, bayaran lain turut dikenakan bagi sesi konvokesyen itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...