Translate

21/07/2012

Letupan bom di pekan Golok

RANTAU PANJANG – Rakyat negara ini yang ke pekan Golok, selatan Thailand pagi semalam untuk membeli keperluan sempena Ramadan dikejutkan dengan letupan bom berhampiran Hotel Genting.

Kebanyakan mereka terdiri daripada peniaga makanan ringan dari seluruh daerah yang tertumpu ke selatan Thailand itu berikutan harga ditawarkan agak murah.

Bagaimanapun letupan sekitar jam 7 pagi waktu tempatan itu tidak menggugat urusan jual beli memandangkan kebanyakan mereka tertumpu ke pasar pagi untuk membeli keperluan di sana.
 
Seorang pengunjung dikenali sebagai Ti, 40-an, berkata, kejadian berlaku berhampiran kedai elektrik berdekatan tempat letak kereta.

Menurutnya, ketika melalui kawasan berkenaan, pihak berkuasa tempatan sedang menyelamatkan penghuni hotel berkenaan.

“Sejam selepas kejadian saya melalui kawasan berkenaan untuk ke pasar pagi, tentera, polis dan pihak berkuasa tempatan sedang menyelamatkan penghuni di hotel berkenaan.

“Walaupun berlaku pengeboman di pekan Golok, tetapi urus niaga berjalan seperti biasa cuma orang ramai perlu mengelak ke kawasan kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tinjauan Sinar Harian di pintu masuk ke pekan itu mendapati orang ramai tetap berkunjung ke negara jiran.

Sinar Harian difahamkan, menjelang Ramadan, barangan dijual di Golok meningkat mendadak pada hari pertama umat Islam di negara itu menjalani ibadah puasa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...