Translate

18/06/2012

Penolong Pegawai SPAD Hadapi Sembilan Pertuduhan Rasuah

Kuantan - Seorang Penolong Pegawai Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menghadapi sembilan pertuduhan membabitkan kesalahan menerima dan memberi rasuah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.

Mohd Azam Bin Abdullah Zawawi, 44 dituduh melakukan tujuh kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, satu pertuduhan dibawah Seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009 dan satu pertuduhan dibawah Seksyen 25 ASPRM 2009.

Tertuduh didakwa menerima rasuah pada tujuh pertuduhan yang dibacakan keatasnya apabila diantara 26 April 2011 hingga 13 Disember 2011 dalam Daerah Kuantan memperoleh sejumlah suapan bernilai antara RM300.00 dan RM2,200.00 bagi tujuh transaksi berlainan melalui akaun bank DMIX Harmony Trading sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan keatas lori-lori Alagendran a/l K Rajenthikan yang melakukan kesalahan perlesenan dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana membawa muatan batu kasaran dengan menngunakan lori berdinding kayu, membawa muatan lebih dan membawa muatan tinggi .

Pada pertuduhan kelapan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 25 ASPRM 2009 iaitu kerana tidak melaporkan transaksi penyogokan kepada SPRM apabila pada 13 Disember 2011, jam 12.15 pagi, dalam daerah Kuantan, telah secara rasuah ditawarkan suapan RM 1,000.00 daripada Alagendran a/l K. Rajenthiran sebagai wang perlindungan bulanan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan pemeriksaan keatas lori-lori beliau.

Manakala pada pertuduhan kesembilan, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 16(a) (B) ASPRM 2009 apabila pada 13 Disember 2011, jam 12.15 pagi dalam daerah Kuantan, telah secara rasuah menerima daripada Alagendran a/l K Rajenthiran wang tunai RM 1,000.00 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan keatas perkara yang dicadangkan iaitu tidak mengambil tindakan keatas lori-lori milik Alagendran a/l K Rajenthiran yang membawa muatan tidak mengikut peraturan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan keatasnya dan minta untuk dibicarakan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...