Translate

12/06/2012

Minta kerajaan bertegas pengendali laman sosial, blog


KUALA TERENGGANU – Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman meminta kerajaan bertindak tegas terhadap pengendali laman blog dan sosial seperti facebook serta twitter yang menyiarkan maklumat berunsur fitnah.

Image DetailMenurutnya, unsur terbabit akan mendatangkan suasana tidak sihat dalam masyarakat majmuk di negara ini selain membahayakan keselamatan sekiranya tidak terkawal.

Sehubungan itu, beliau melihat perlunya tindakan tegas diambil untuk memastikan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selain memberi pengajaran kepada pihak lain.

“Tindakan tegas perlu diambil supaya menjadi teladan untuk menjamin keselamatan masyarakat kerana fitnah ini sangat bahaya dan lebih dahsyat daripada membunuh,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penggunaan blog dan laman sosial lain yang dijadikan medium pihak tertentu menyebarkan perkara tidak sepatutnya.

Menurutnya, pemimpin kerajaan turut terkena tempias dan sasaran fitnah mereka yang tidak bertanggungjawab bagi tujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri turut meminta ahli politik tidak menjadikan internet sebagai tempat untuk mewujudkan suasana tidak sihat.

Katanya, unsur fitnah tidak patut dijadikan amalan lebih-lebih lagi internet yang mempunyai jumlah pengguna yang ramai.

“Kita minta pengendali laman blog, facebook dan twitter bertanggungjawab dengan penyebaran maklumat sahih kerana kita sedia maklum alam maya mempunyai tarikan kuat dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, semua pihak perlu mewujudkan suasana lebih bertanggungjawab dalam melahirkan generasi dan kepimpinan yang berkaliber untuk membawa hala tuju negara ke arah lebih baik.

Katanya, suasana sihat mampu mewujudkan kepimpinan yang matang dan masyarakat lebih maju.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...