PETALING JAYA – Gara-gara kebodohan menggunakan nombor plat yang tidak wujud, tiga warga asing berusia 18 hingga 29 tahun ditahan di kawasan tempat kereta Apartmen Idaman, Damansara Damai kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, berbekalkan maklumat awam suspek diberkas oleh Unit Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di kawasan berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan pada kereta Perodua MyVi bernombor pendaftaran JUR 1915, pihaknya menemui sebilah parang panjang, pemutar skru, segulung dawai tembaga dan kad bank.

“Suspek dipercayai sedang cuba mencuri kenderaan di kawasan berkenaan berdasarkan keterangan daripada penduduk di kawasan itu,” katanya.

Difahamkan, kereta tersebut pernah dilaporkan hilang di Kajang beberapa bulan lalu dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kerja jenayah.

Beliau berkata, ke semua yang ditahan mempunyai dokumen perjalanan sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.

Arjunaidi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas ketiga–tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kes curi di kawasan itu.