Ahad, 17 Jun 2012

Hargai peranan, jasa dan budi bapa


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat mengenang dan menghargai peranan, jasa dan budi para bapa sempena sambutan Hari Bapa, esok.

Beliau berkata, anak-anak seharusnya memanfaatkan sambutan Hari Bapa bagi menyatakan penghargaan terhadap jasa dan budi bapa masing-masing.

"Jadi, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di negara ini termasuk mereka yang baru sahaja bergelar bapa.

"Bapa muda pun kita kena beri pengiktirafan atas sumbangan dan potensi mereka untuk membentuk generasi baru yang akan menentukan kejayaan negara, insya-Allah," katanya dalam rakaman video temu bual khas berdurasi kira-kira enam minit sempena sambutan Hari Bapa 2012 yang dimuat naik ke laman blog www.1malaysia.com.my di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai hubungan dengan ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Najib menyifatkan sikap generasi pada masa itu agak berbeza berbanding sekarang.

Menurut Najib, kedua-dua ibu bapanya sangat disegani dan dihormati beliau dan adik-beradiknya yang sentiasa berhati-hati bagi memastikan setiap kata-kata dan perbuatan tidak menyinggung atau menimbulkan perasaan kurang senang terhadap ayahanda mereka.

"Namun, ini bukan bererti tiada rasa kasih sayang yang mendalam, memang ada. Saya masih ingat lagi waktu belajar di luar negara, masa itu tiada e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau media sosial, saya terpaksa menulis surat menerusi aerogram dan menunggu jawapan daripada ayahanda saya.

"Walaupun ayahanda saya ketika itu sangat sibuk sebagai Perdana Menteri, tetapi saya pasti dapat jawapan selang dua minggu. Jawapan pasti tiba," ujarnya.

Beliau menambah, Allahyarham Tun Abdul Razak juga seorang motivator yang secara halus menggalakkan anak-anaknya belajar bersungguh-sungguh supaya mereka beroleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

"Setiap bulan ayahanda hendak tahu tentang pencapaian kami. Saya dan adik-beradik tidak mahu mengecewakan beliau, jadi kami pun cubalah sedaya-upaya.

"Kalau dapat nombor satu, Allahyarham cukup riang mukanya tetapi kalau sebaliknya, beliau rasa agak kecewa," jelasnya.

Najib memberitahu, menerusi pendekatan itu, Allahyarham ayahandanya telah mendidik anak-anak supaya tidak terlalu manja, tidak terlalu mewah dalam kehidupan dan mengamalkan cara hidup yang sederhana serta sentiasa bertimbang rasa terhadap orang lain.

"Mungkin atas sebab itu, saya mungkin mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang agak baik dengan rakyat hasil didikan ayahanda yang lembut tetapi kesannya besar terhadap jiwa dan perasaan saya," katanya.

Sementara itu, Najib melihat cara beliau bergaul dan berkomunikasi dengan anak-anaknya pada masa ini agak kurang formal jika dibandingkan dengan cara ayahandanya.

"Maknanya, kita boleh melepak bersama dan kadang-kadang boleh bergumpal bersama tetapi rasa hormat itu tetap ada, tetap tinggi.

"Saya lihat hubungan saya dengan anakanda-anakanda saya lebih dalam bentuk bertukar-tukar pendapat secara terus-terang. Tiada jurang antara kami tetapi mereka juga masih menghormati saya sebagai ayah," katanya.

Najib berkata, situasi tersebut menunjukkan perubahan generasi yang bukan sahaja berlaku terhadap keluarga beliau malah secara umum di seluruh negara.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...