Translate

30/05/2012

Pas semakin menyimpang dari Islam - Nakhaei


 Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaei Ahmad berkata, ‘fatwa’ parti itu sebelum ini yang mengatakan bahawa individu yang mengundi Pas akan mendapat balasan syurga adalah satu daripada perjuangan sesat Pas yang sudah terkeluar daripada ajaran Islam.

“Kita masuk syurga hanyalah semata-mata kerana rahmat daripada Allah dan bukannya kerana amalan kita, solat kita atau undi kita.

“Fatwa Pas itu sangat jauh daripada apa yang disabdakan Rasullullah bahawa manusia tidak akan masuk syurga oleh kerana amalan atau perjuangannya sebaliknya hanya kerana rahmat Allah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi yang menegaskan fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini menegaskan bahawa parti itu tetap dengan pendiriannya meneruskan kempen menegakkan syiar Islam dengan menekankan soal syurga apabila seseorang itu melahirkan sokongan kepada parti itu semasa pilihan raya.

Nakhaei berkata, Pas tidak boleh memonopoli perjuangan Islam terutama apabila menjanjikan balasan syurga seolah-olah ia sahaja yang menjadi satu-satunya jalan yang selamat bagi umat Islam.

“Jika Pas memahami seperti itu sememangnya ia berada di jalan kesesatan kerana di dunia ini banyak pihak yang memperjuangkan Islam dengan cara masing-masing yang difikirkan terbaik asalkan mereka berjuang menegakkan Islam dengan berpegang kepada iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengikut cara Rasullullah dan sahabat baginda," katanya.

Katanya, parti politik bukanlah satu jalan yang termasuk di dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sekiranya pendapat, pandangan atau kata-kata yang diucapkan berlawanan dengan pegangan ajaran Islam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...