Khamis, 24 Mei 2012

Mereka yang mensabotaj parti perlu disingkirkan segera daripada parti ???

Image DetailTindakan mensabotaj parti oleh ahli yang tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menyebabkan Barisan Nasional (BN) mengalami nasib yang lebih buruk berbanding apa yang berlaku pada 2008.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata, sejarah hitam pada pilihan raya umum lalu itu tidak akan berlaku sekiranya mereka tidak mempunyai perasaan dendam dan hasad dengki.

"Tahun ini merupakan tahun yang genting bagi BN. Jika ahli parti masih gagal bersatu, sudah pasti peristiwa hitam itu akan berulang. Kemenangan BN pada kali ini begitu bergantung kepada kerjasama utuh dan kesepaduan antara semua ahli dan parti komponen," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ingatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada ahli-ahli BN supaya tidak mensabotaj parti jika tidak terpilih sebagai calon pada PRU-13.

Menurut Ahmad Zahid, tindakan itu bukan sahaja boleh menyebabkan BN kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) malah, tidak mustahil kehilangan kuasa di beberapa negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, veteran UMNO, Tan Sri Aziz Shamsuddin berkata, ahli BN wajar mengambil perhatian serius terhadap gesaan Ahmad Zahid tersebut demi kepentingan parti.

"Pada saya, kelakuan mensabotaj parti menunjukkan ahli berbuat demikian tidak mengikut prinsip dan tidak memahami konsep sebenar perjuangan sesebuah parti politik itu," katanya.

Beliau berkata, perbuatan mensabotaj parti apabila tidak tercalon pada pilihan raya juga menunjukkan mereka meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan parti.

"Memang semua fikir mereka layak dan mampu jadi calon tetapi kepentingan parti mengatasi peribadi. Ahli kena patuh pada tuntutan parti. Jika tidak, orang akan kata mereka ini hanya penting diri sendiri semata-mata," katanya.

Seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata, ahli BN tidak perlu sewenang-wenangnya merosakkan parti kerana marah apabila tidak tercalon pada pilihan raya.

Katanya, sikap yang ditunjukkan itu berbeza dengan perjuangan ahli parti generasi terdahulu yang begitu bersungguh-sungguh berjuang untuk parti dan demi negara.

"Zaman sekarang, ahli politik sudah menukar konsep perjuangan mereka tidak seperti dahulu. Ini membuktikan bahawa teori Ibnu Khaldun benar-benar berlaku iaitu manusia apabila terhimpit akan bersatu-padu membentuk bangsa.

"Namun apabila sudah makmur, perpaduan itu akan hancur kerana lebih mementingkan diri sendiri. Saya ingat teori ini sememangnya berlaku dalam parti politik sekarang," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...