Sabtu, 26 Mei 2012

Belum memerintah dah huru-hara tak persefahaman, macam mana nak memerintah ???


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib hari ini menegaskan bahawa beliau menentang sebarang usaha untuk melonjakkan kalangan bukan Melayu atau bukan Islam menerajui negara ini.

Beliau berkata, Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tentunya akan terus memastikan ia tidak akan berlaku.

Katanya, hanya orang Islam yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri untuk mentadbir negara ini pada masa akan datang.

Beliau mengakui cubaan ke arah itu timbul kerana dalam Perlembagaan tidak menyatakan jawatan Perdana Menteri hanya khusus kepada pemimpin Melayu.

“Saya tak setuju dan bantah kalau orang bukan Melayu atau bukan Islam menjadi Perdana Menteri, malah Pas sendiri, sebagai sebuah parti Islam hanya mahukan orang Islam yang jadi pemimpin (Perdana Menteri).

“Biarlah dia (Karpal Singh) dengan impiannya (mahu orang bukan Melayu jadi Perdana Menteri). Saya bukan menentangnya (Karpal) tapi saya tidak bersetuju dengan Perlembagaan yang ada.

“Ini kerana, dalam Perlembagaan negara, ia tidak sebut hanya orang Melayu boleh jadi Perdana Menteri. Di sinilah yang menjadi masalahnya dan saya memang tidak bersetuju," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harun diminta mengulas ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa beliau akan terus berjuang bagi memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.

Karpal berkata, meskipun ketika ini pakatan pembangkang bersetuju bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon paling layak sebagai Perdana Menteri, beliau secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang calon bukan Melayu.

Harun seterusnya berpendapat, impian Karpal untuk melihat calon bukan Melayu menjadi Perdana Menteri kelak tidak akan tercapai kerana beliau yakin orang Melayu tidak akan dapat menerima seorang Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu atau bukan Islam.

“Impian beliau (Karpal) mungkin tercapai jikalau orang-orang Melayu mengundi beliau atau calon-calon lain yang bukan Melayu. Namun saya yakin orang Melayu tak akan undi mereka," ujarnya.

Ditanya pula mengenai percanggahan pendapat antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu muzakarah, Harun berkata, apa sahaja yang boleh membawa kebaikan kepada umat Islam, beliau akan sokong.

“Saya serah kepada keputusan kepimpinan parti (Pas) sama ada muzakarah diteruskan atau sebaliknya, saya sokong apa saja keputusan parti," ujarnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...