KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Ketika Jepun dilanda gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter sebulan lepas, saya berada di negara itu kerana menunaikan tugas rasmi. Untuk memenuhi permintaan rakan serta kenalan agar saya menceritakan dengan lebih terperinci detik-detik yang saya lalui ketika berlakunya bencana alam yang amat dahsyat itu, berikut adalah catatan pengalaman yang ingin saya kongsi bersama anda sekalian:
Selepas menikmati hidangan tengah hari bersama Akira Kojima, seorang ahli akademik dan pakar ekonomi terkemuka Jepun di Otemachi (dareah ini juga dikenali sebagai pusat kewangan dan akhbar Tokyo kerana di situlah terletak semua pejabat institusi kewangan dan pejabat akhbar terkemuka Jepun), saya cuba mentafsir pandangan beliau bahawa Negara Matahari Terbit itu memerlukan suatu krisis untuk membolehkannya mencapai lebih banyak kemajuan dalam segenap bidang. Saya sekali-kali tidak menyangka bahawa apa yang beliau ucapkan itu menjadi kenyataan beberapa jam kemudian.