KUALA LUMPUR: Rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang pembangkang telah disahkan ketulennya oleh pakar tempatan yang melakukan pemeriksaan terhadap video berkenaan, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar.
Beliau berkata siasatan kini dalam peringkat akhir oleh pasukan khas yang ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi menyiasat rakaman video seks berkenaan.
"Dengan ini diumumkan bahawa siasatan (video) kini di tahap terakhir...ini bermakna polis telah menerima laporan pakar mengenai kesahihan video itu. Dengan kata lain, rakaman itu adalah tulen," katanya pada sidang media tergempar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, Jumaat.







