Sudah sampai masanya Nik Aziz Nik Mat memerlukan kumpulan penasihat yang mantap bagi membantu beliau dalam mengeluarkan pandangan dan kenyataan media.
Jika tidak, Pas dilihat seperti organisasi pimpinan Ayah Pin. Buktinya, apabila Nik Aziz buka sahaja mulut, ia pasti mengundang padah kepada parti itu sendiri. Imej Pas akan menjadi lebih buruk dan parti itu seolah-olah melacurkan agama.
Terbaru, jawapan Nik Aziz kepada kritikan Dr. Mahathir juga longgar dan amat meragukan. Hujah-hujah Tok Guru tidak meyakinkan.
Awang hanya mahu menyentuh satu perkara iaitu penjelasan Nik Aziz mengapa beliau berbaik dengan DAP. Menurutnya, ia membolehkan Pas memperkenalkan Islam kepada DAP. Dengan kata lain beliau mahu berdakwah kepada ahli-ahli dan penyokong DAP. Sampai ke manakah tahap dakwah itu, apakah sehingga mengislamkan ramai penyokong DAP? Nik Aziz kena perjelaskan hal itu sedalam-dalamnya untuk pemahaman masyarakat Cina dan juga menepis kekeliruan umat Islam. Tetapi Awang percaya Nik Aziz terperangkap dengan kritikan Dr. Mahathir.