KUALA LUMPUR 16 Feb. - Portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam yang ditubuhkan Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya menjaga hal ehwal dan kebajikan penganut agama lain dan bukannya dilihat seperti cuba berkonfrontasi dengan Islam.
Pemerhati undang-undang, Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, meskipun penubuhan portfolio itu tidak menyalahi undang-undang, namun objektifnya perlu mencerminkan semangat kerjasama dan saling menghormati antara penganut Islam dan bukan Islam.
Beliau yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menambah, objektif portfolio itu bagaimanapun seolah-olah menggambarkan bahawa agama Islam sedang berkonfrontasi dengan agama-agama lain.
"Jika betul mahu menjaga hal ehwal bukan Islam, maka tidak perlu disebut mengenai konfrontasi sebab Islam tidak berkonfrontasi dengan agama lain. Mungkin setakat itu sahaja pandangan portfolio tersebut terhadap agama Islam," kata beliau.