Translate

25/11/2011

Malapetaka Ekonomi Negara Jika Pembangkang Menang PRU 13

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kemenangan pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang bakal membawa kepada kemusnahan ekonomi negara, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Beliau berkata kelemahan pakatan PKR-DAP-Pas dalam merumuskan dasar-dasar ekonomi seperti “Bajet Alternatif 2012″ terserlah dan malahan anggota pembangkang sendiri sudah berhenti bercakap mengenainya.
“Memang diketahui di kalangan MP (anggota Parlimen) dan media bahawa bajet alternatif itu dirumuskan dengan tergesa-gesa. Tetapi pada realitinya, tidak ada yang menyerlah dalam kandungannya kecuali yang bersifat retorik dan janji-janji populis yang tidak realistik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kegagalan pakatan pembangkang merumuskan idea-idea dan program ekonomi merupakan satu isu yang perlu dinilai oleh pengundi Malaysia.
“Amat menarik untuk diketahui bahawa kurangnya kearifan mengenai ekonomi turut didedahkan dalam Jabatan Negara AS yang dibocorkan oleh kabel Wikileaks, seperti dilaporkan oleh media. Kabel diplomatik itu dilaporkan mendedahkan tentang ketidakarifan para penggubal ekonomi pakatan pembangkang dan kelemahan itu memberikan kesan kepada mereka sebagai satu pakatan.”
Dr Chua berkata kabel itu turut membuat spekulasi mengenai kenapa perkara itu berlaku dan mencadangkan politik mungkin menjadi puncanya kenapa pembangkang tidak melantik pakar walaupun tidak mempunyai pakar ekonomi di kalangan mereka.
“Ini menggariskan beberapa kesulitan yang akan dihadapi pembangkang sekiranya mereka menawan Putrajaya.
“Inilah apa yang telah dinyatakan oleh duta-duta AS mengenai hal ehwal pakatan dan pastinya kita tahu mengenai kelemahan mereka,” katanya.
Dr Chua juga berkata beliau memahami sentimen sesetengah pengundi terhadap kerajaan dan beliau ingin bertanya kepada mereka sama ada pakatan pembangkang adalah pilihan terbaik sepertimana dalam kes di Kedah dan Kelantan.
“Adalah jelas bahawa kerajaan-kerajaan negeri ini tidak kompeten. Diakui,  kebanyakan mereka (pemimpin) mungkin mempunyai latarbelakang agama yang berwibawa tetapi tidak mampu memahami ekonomi dan pengurusan moden yang rumit,” katanya.
Dr Chua turut menyelar DAP di Pulau Pinang yang beliau sifatkan sebagai menggunakan pendekatan “Pembangunan Didahulukan, Rakyat Yang Terakhir” dengan mengabaikan kepentingan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) malahan bagi projek yang mempunyai risiko daripada segi ekologi seperti cadangan pembinaan taman tema di Teluk Bahang yang terletak dekat dengan kawasan tadahan air.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...