Translate

27/11/2011

Konsep Wasatiyyah Kekang Kewujudan Golongan Pelampau Dalam Masyarakat

Penerapan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dapat mengekang kewujudan golongan pelampau di kalangan masyarakat yang dikhuatiri boleh memporak-perandakan keteguhan institusi negara, kata tokoh pemikir tamadun Islam Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.
Menurut bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu, golongan pelampau dikenal pasti sebagai mereka yang sering merosakkan ilmu, melampaui had berkenaan urusan dunia dan akhirat serta mereka yang mencuri buah fikiran orang lain.


“Zaman kita sekarang, ketiga-tiga golongan yang disebut itu wujud dengan luasnya dalam dunia Muslim… Ibn Taymiyyah ada menyebut sekiranya ditutup mata dan lempar batu, pasti batu itu akan terkena satu daripada tiga golongan tersebut kerana bilangan mereka yang terlalu ramai,” katanya.
Ketika menyampaikan ucaptama pada seminar kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah & 1Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini hari ini, Syed Ali Tawfik berkata golongan berkenaan bukan sahaja jahil kerana kekurangan ilmu, tetapi juga jahil dan degil dalam menerima hakikat.
“Usaha perlu dilakukan untuk kembalikan semula golongan ini ke landasan wasatiyyah, seiring dengan aspirasi Malaysia, sebuah negara yang berbilang kaum dan agama,” katanya.
Syed Ali Tawfik berkata semua pihak harus bersatu menonjolkan kembali kedudukan institusi ilmu negara ke persada dunia bagi memastikan konsep wasatiyyah itu lebih berkesan untuk diamalkan.
Hanya pendidikan dan peradaban dapat membantu menghidupkan semula kegemilangan tamadun Islam di samping mengasaskan kembali usaha menterjemah karya-karya Islam yang banyak menerangkan mengenai konsep wasatiyyah, katanya.
Penasihat Yayasan Al-Bukhary itu berkata adalah penting bagi Malaysia mempunyai sebuah maktabah (perpustakaan) yang mempunyai rujukan-rujukan dalam bentuk manuskrip bagi menarik kedatangan ilmuan dari dunia Barat belajar mengenai tamadun Islam.
“Malaysia telah mengemukakan hasrat untuk menjadi pusat pendidikan antarabangsa, tetapi bukan saja Malaysia, malah seluruh Asia Tenggara tidak mempunyai maktabah yang boleh dibandingkan dengan kemudahan yang terdapat di dunia Barat.
“Dalam kata lain, dengan ketiadaan maktabah yang menyeluruh, yang menjadi khazanah menyimpan rujukan-rujukan agung, (maka) tiada kecenderungan untuk para ulama datang ke Malaysia. Natijahnya para pelajar tidak akan berhasrat untuk menyertai universiti di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata jika Malaysia mempunyai maktabah yang mempunyai khazanah ilmiah yang besar termasuk buku-buku karangan ulama Muslim yang agung, Malaysia boleh mengambil peranan sebagai pusat pengajian Islam yang berwibawa.
“Hakikatnya, Malaysia ada menyimpan sejumlah manuskrip yang amat bernilai, tetapi ketiadaan budaya belajar tersebut dan ketiadaan kemudahan maktabah, telah menyekat impian Malaysia untuk menjadi pusat pendidikan antarabangsa,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...